Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Aliran Meningkat Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkan aliran meningkat minggu depan, disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

MARGMA berkata harga minyak yang semakin pulih turut membantu meningkatkan sentimen pasaran.

“Data ekonomi AS yang lebih kukuh, selain pemulihan harga minyak dan jangkaan rangsangan ekonomi tambahan dari China, dilihat sebagai pemacu penting yang boleh menyokong pasaran getah minggu depan,” kata persatuan itu kepada Bernama.

Bagaimanapun, MARGMA memberi amaran bahawa ketidaktentuan berterusan yang menyelubungi dasar perdagangan AS akan terus menimbulkan cabaran bagi pasaran getah.

“Ketidaktentuan yang meluas berpunca daripada dasar perdagangan AS, walaupun terhadap kemungkinan berlangsungnya rundingan sebelum 1 Ogos, berserta dengan potensi pelarasan pada kadar faedah AS, boleh menimbulkan masalah bagi pasaran getah,” katanya.

Sebaliknya, pakar industri Denis Low menjangkakan pasaran getah kekal perlahan minggu depan, dengan kecenderungan untuk bergerak lebih rendah di tengah-tengah sentimen berhati-hati.

“Kami menjangkakan pasaran akan diniagakan dengan kecenderungan perlahan dan lebih rendah pada minggu ini,” katanya.

Pada asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 15 sen kepada 726.00 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 5 sen kepada 566.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA