BERITA TERKINI   Kerajaan mahu aktifkan semula pertukaran pelajar, galak pelajar New Zealand ceburi TVET di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | Malaysia sedia tambah 100 pelajar tajaan MARA lanjut pengajian ke New Zealand, khususnya bidang teknologi hijau - TPM Ahmad Zahid | KPKM perkenal dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 untuk tangani isu padi angin - Mohamad | Kerajaan lulus Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang jalani tempoh pengalaman kerja diselia selepas tamat latihan kepakaran - KKM | 

Jualan Perdagangan Borong, Runcit Pada Mei Naik 4.4 Peratus Kepada RM154.3 Bilion - DOSM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154.3 bilion pada Mei 2025, mencerminkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh prestasi subsektor perdagangan runcit dan borong.

“Subsektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan RM67.1 bilion, peningkatan sebanyak RM3.1 bilion atau 4.9 peratus tahun ke tahun.

“Subsektor perdagangan borong mencatatkan RM68.2 bilion, meningkat RM3.1 bilion atau 4.7 peratus tahun ke tahun, mencerminkan aktiviti perniagaan yang stabil di seluruh rantaian bekalan,” katanya.

Jualan runcit dalam talian pada Mei mencatatkan peningkatan dengan indeks naik 2.2 peratus tahun ke tahun, katanya.

“Bagaimanapun, selepas pelarasan bermusim, indeks merekodkan penurunan -3.4 peratus bulan ke bulan,” kata beliau.

Dari segi indeks volum, beliau berkata perdagangan borong dan runcit mencatatkan kenaikan 4.1 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.8 peratus, diikuti oleh perdagangan runcit dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus.

Melengkapi pertumbuhan perdagangan, Mohd Uzir berkata transaksi pembayaran digital Malaysia mencatatkan peningkatan kukuh tahun ke tahun pada Mei 2025.

“Transaksi wang elektronik (E-money) melonjak sebanyak 70.2 peratus tahun ke tahun kepada RM21.5 bilion, mencerminkan penerimaan yang semakin meluas terhadap pembayaran digital.

“Transaksi melalui platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) berjumlah RM289.4 bilion, menggambarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pembayaran secara serta-merta, manakala transaksi melalui pertukaran proses kewangan (FPX) berkembang 21.1 peratus kepada RM39.2 bilion, didorong oleh peningkatan aktiviti perbankan dalam talian,” katanya.

Ketua Perangkawan itu berkata transaksi kad kredit kekal stabil pada RM18.7 bilion, manakala transaksi kad debit mencatatkan pertumbuhan lapan peratus kepada RM14.1 bilion.

"Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan perluasan berterusan saluran pembayaran digital selaras dengan perubahan corak perbelanjaan pengguna dan kemajuan digitalisasi dalam infrastruktur pembayaran di Malaysia," tambahnya.

-- BERNAMA