Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Jejaki Prestasi Kenaikan Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.44 mata atau 0.09 peratus kepada 1,537.51 daripada 1,536.07 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras pasaran itu dibuka 0.10 mata lebih rendah kepada 1,535.97 dan bergerak antara 1,533.93 hingga 1,538.33 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara keseluruhannya kurang memberangsangkan dengan 514 kaunter rugi mengatasi 432 kaunter untung manakala 510 kaunter tidak berubah, 962 kaunter tidak didagangkan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.93 bilion saham bernilai RM1.67 bilion daripada 3.37 bilion saham bernilai RM2.30 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi positif yang dicatatkan indeks utama itu disokong oleh data perdagangan China yang lebih kukuh berbanding jangkaan, dengan eksport meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun pada Jun, jauh melebihi unjuran pada 3.6 peratus.

“Data tersebut menunjukkan pengeksport China mempercepat penghantaran sebelum tempoh penangguhan tarif Amerika Syarilkat (AS) selama 90 hari berakhir.

“Ini sekali gus memberikan sedikit kelegaan kepada sentimen pasaran global dan sebahagiannya mengimbangi kebimbangan berterusan terhadap retorik tarif Washington,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelabur juga akan memantau lebih banyak data dari China, khususnya angka perdagangan bagi Jun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua.

Kerajaan China dijangka mengumumkan data ekonomi itu esok. katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peserta pasaran tempatan kekal dengan sentimen berhati-hati susulan kebimbangan berterusan mengenai tarif AS, dengan pelabur memantau rapat kesannya terhadap ekonomi ASEAN dan rantaian bekalan global.

“Bagaimanapun, indeks penanda aras pasaran disokong dengan baik di atas paras 1,530. Walaupun saham berkaitan komoditi mengalami tekanan jualan, manakala kaunter yang bersifat defensif dan stabil dalam perbankan, pengguna dan utiliti pula menunjukkan daya tahan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat antara 1,530 hingga 1,560 sepanjang minggu ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.72, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok dua sen kepada RM4.34 dan RM13.98. CIMB dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.69 dan RM6.59.

Bagi kaunter aktif, NexG menambah dua sen kepada 47 sen, Wentel Engineering naik 1.5 sen kepada 33.5 sen, Malaysian Resources Corporation naik setengah sen kepada 54 sen, Zetrix AI turun 1.5 sen kepada 98.5 sen, dan Tanco tidak berubah pada 90.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.88 mata kepada 11,558.46, Indeks FBMT 100 menambah 12.30 mata kepada 11,321.04, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.13 mata kepada 11,560.60.

Indeks FBM 70 menambah 25.85 mata kepada 16,787.20, manakala Indeks FBM ACE meningkat 33.35 mata kepada 4,571.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 55.74 mata kepada 17,663.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.22 mata kepada 153.87, manakala Indeks Perladangan kurang 16.35 mata kepada 7,434.10. Indeks Tenaga naik 9.76 mata kepada 747.38.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.13 bilion unit bernilai RM1.35 bilion berbanding 1.36 bilion unit bernilai RM1.99 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran turut berkurangan kepada 1.46 bilion unit bernilai RM208.01 juta daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.03 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 342.18 juta unit bernilai RM113.55 juta, berbanding 318.83 juta unit bernilai RM107.58 juta pada Jumaat.

Saham produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 171.70 juta unit saham didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (182.22 juta), pembinaan (82.17 juta), teknologi (239.31 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (41.28 juta), hartanah (179.63 juta), perladangan (11.93); REIT (19.63 juta), dana tertutup (22,800), tenaga (61.84 juta), penjagaan kesihatan (54 juta), telekomunikasi dan media (30.31 juta), pengangkutan dan logistik (21.68 juta), utiliti (34.41 juta), dan amanah perniagaan (18,500).

-- BERNAMA