Kerajaan Ambil Langkah Bersasar, Kurangkan Defisit Perdagangan Dalam Sektor Perkhidmatan Pengangkutan - Loke

SUBANG JAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan menggunakan pendekatan bersasar untuk mengurangkan defisit perdagangan negara dalam sektor perkhidmatan khususnya dalam perkhidmatan pengangkutan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau menekankan bahawa ia boleh dicapai dengan mengukuhkan industri tempatan berprestasi tinggi dan mengembangkan keupayaan berorientasikan eksport terutamanya dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas.

Malaysia terus mencatatkan defisit dalam perkhidmatan pengangkutan kerana pergantungan yang besar kepada kapal perkapalan antarabangsa, kekangan dari segi struktur dalam industri perkapalan kontena kekal sebagai cabaran utama, kata Loke.

"Kebanyakan eksport dan import kami bergantung kepada syarikat perkapalan asing kerana Malaysia tidak mempunyai industri perkapalan kontena antarabangsa yang kukuh. Walaupun terdapat syarikat perkapalan tempatan, kebanyakannya menyediakan perkhidmatan kepada pasaran domestik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025, di sini hari ini.

Loke berkata perkapalan global kini dikuasai oleh beberapa pemain utama berikutan langkah penyatuan, menyukarkan ekonomi kecil atau negara sedang pesat membangun seperti Malaysia untuk bersaing dalam arena logistik antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak berdiam diri, usaha sedang dibuat untuk mengurangkan defisit dengan meningkatkan sektor di mana Malaysia mempunyai keupayaan domestik kukuh.

"Sebagai contoh dalam sektor minyak dan gas, kita (Malaysia) mempunyai syarikat tempatan berdaya saing. Dengan mengembangkan perkhidmatan kami di kawasan ini termasuk penggunaan kapal tangki minyak tempatan untuk operasi antarabangsa, kami menyasarkan untuk meningkatkan eksport perkhidmatan negara dan mengurangkan jurang perdagangan," katanya.

Langkah itu sejajar dengan strategi nasional yang lebih luas untuk meningkatkan prestasi perdagangan perkhidmatan Malaysia, memanfaatkan keupayaan maritim dan secara beransur-ansur mengukuhkan kedudukan imbangan pembayaran (BOP) negara.

Dalam ucapannya, beliau berkata BOP negara pada suku pertama 2025 menyaksikan akaun perkhidmatan pengangkutan kekal sebagai komponen utama defisit perkhidmatan.

Beliau berkata akaun pengangkutan mencatatkan defisit lebih besar sebanyak RM9.3 bilion pada suku pertana 2025 berbanding defisit RM8.0 bilion pada suku sebelumnya, kebanyakannya disumbangkan oleh sektor perkhidmatan pengangkutan maritim terutamanya bahagian pengangkutan laut.

"Bagi Malaysia, BOP maritim menonjolkan paradoks ekonomi teras: ia adalah negara perdagangan terkemuka dunia dengan mempunyai pelabuhan bertaraf global, bagaimanapun ia mempunyai pergantungan struktur pada perkapalan asing untuk menjalankan perdagangan.

"Ini membawa kepada defisit berterusan dan ketara dalam akaun pengangkutan lautnya yang merupakan penyumbang utama kepada defisit perkhidmatan secara keseluruhan," kata Loke.

Beliau berkata kira-kira 96.4 peratus daripada perdagangan Malaysia diangkut menggunakan laluan laut.

Menurut data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), sektor perkhidmatan mengalami pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2025.

Pemacu utama pertumbuhan itu ialah subsektor pengangkutan dan penyimpanan yang berkembang sebanyak 9.5 peratus, disokong oleh permintaan tinggi untuk pengangkutan laut, pelabuhan dan perkhidmatan logistik, mengesahkan semula peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.

-- BERNAMA