Tingkat Pelaburan R&D Kunci Jadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi, Berdaya Saing

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Peningkatan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah kunci untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan berdaya saing, demikian menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menterinya Chang Lih Kang berkata MOSTI komited untuk memperkukuh ekosistem R&D negara dengan memastikan hasil penyelidikan tidak hanya kekal berada di makmal tetapi dapat diterjemahkan menjadi satu penyelesaian yang nyata.

“Penyelesaian ini seterusnya akan memberi impak kepada rakyat, memperkukuh industri tempatan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Chang berkata walaupun pelaburan negara dalam R&D masih ketinggalan berbanding negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Singapura, MOSTI akan berusaha untuk merapatkan jurang ini menjelang 2030.

“Pada masa yang sama, kerajaan menetapkan sasaran untuk negara mencapai perbelanjaan kasar untuk penyelidikan dan pembangunan (GERD) sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui agenda Ekonomi MADANI bagi memastikan pembangunan ekonomi yang kukuh dalam jangka masa panjang,” katanya.

Bagi menyokong usaha ini, beliau berkata, MOSTI telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh landskap R&D negara yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang inovatif, berdaya tahan dan beretika

Menurutnya, antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah memperluas akses pembiayaan R&D kepada syarikat dan institusi penyelidikan yang memberi impak tinggi, terutamanya dalam bidang teknologi hijau, digital dan lestari.

Selain itu Chang berkata, penubuhan konsortium penyelidikan industri-akademik juga menggalakkan kerjasama tiga pihak antara kerajaan, industri dan akademia untuk menangani isu-isu nasional melalui penyelidikan yang berfokus.

“Sebagai contoh, Konsortium Penyelidikan Semikonduktor yang diterajui oleh MIMOS pada 2024 telah memacu kemajuan teknologi semikonduktor dan mengangkat Malaysia sebagai hab penyelidikan semikonduktor di ASEAN,” katanya.

Inisiatif lain termasuk pemerkasaan infrastruktur R&D nasional yang melibatkan usaha meningkatkan kapasiti makmal, pusat kecemerlangan serta jaringan sumber R&D antara negeri untuk menyokong pembangunan teknologi yang inklusif.

“Penubuhan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) pada 2020 merupakan antara inisiatif utama untuk menyediakan ekosistem pengujian dan pembangunan teknologi di peringkat pra-komersial secara langsung di lokasi sebenar, sekali gus merapatkan jurang antara penyelidikan dan aplikasi industri,” katanya.

Chang berkata pengukuhan mobiliti dan latihan penyelidik juga merupakan inisiatif yang menyediakan program pembangunan bakat melalui latihan industri, penyelidikan bersama antarabangsa serta insentif untuk penyelidik muda.

“Antara inisiatif yang disokong termasuklah Young Scientists Network di bawah Akademi Sains Malaysia yang membina kapasiti penyelidik muda menerusi latihan penyelidikan, pendedahan kepada teknologi semasa dan jaringan kerjasama di peringkat global,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan dasar inovasi terbuka dan pengkomersialan akan mempermudah pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan melalui perlindungan harta intelek serta pembiayaan awal kepada syarikat pemula berasaskan R&D.

“Pelaksanaan inisiatif program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan untuk mempercepatkan proses membawa teknologi dari makmal ke pasaran dengan sokongan penilaian kesediaan teknologi, bimbingan pakar dan akses kepada pelabur strategik,” katanya.

-- BERNAMA