Sektor Pembuatan Malaysia Papar Petunjuk Stabil Pada Julai -- S&P Global
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia menunjukkan tanda-tanda stabil pada Julai dengan kadar penyederhanaan mereda ketika persekitaran permintaan pulih secara beransur-ansur, kata S&P Global.
Ahli Ekonomi Risikan Pasaran S&P Global Usamah Bhatti berkata kalangan pengilang Malaysia mengalami tekanan lebih rendah dari segi persekitaran operasi pada awal separuh kedua 2025 dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) terkini menunjukkan sektor terbabit sedang ke arah stabil.
“Pesanan baharu rendah sedikit berbanding Jun, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jualan eksport yang pertama kalinya dalam tempoh lapan bulan.
“Sehubungan itu, tahap pengeluaran dikurangkan pada kadar lebih perlahan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menerusi tinjauan itu juga, pelarasan bermusim IPP Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 49.7 dalam Julai daripada 49.3 pada Jun, sekali gus memaparkan penyederhanaan paling perlahan dari segi prestasi sektor itu dalam tempoh lima bulan.
Sejajar dengan aliran jumlah pesanan baharu, S&P Global berkata pengeluaran merosot pada kadar paling sederhana sejak Februari, apabila syarikat-syarikat menyatakan kelemahan permintaan tempatan sebagai faktor mengekang tahap pengeluaran.
Pada masa sama, S&P Global berkata stok bahan mentah dan barangan siap kekal stabil secara menyeluruh pada permulaan suku ketiga manakala peningkatan permintaan terhadap input menjadi penyebab tempoh penghantaran lebih lama pada Julai susulan laporan kelewatan penghantaran.
Menurutnya, walaupun penggajian tenaga kerja susut sedikit pada Julai susulan kenaikan kecil pada Jun, S&P Global berkata terdapat petunjuk tekanan kapasiti yang sedikit ketika pengilang Malaysia terus melaporkan jumlah tunggakan kerja yang menyederhana.
“Inflasi kos input meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut pada Julai, mencapai paras tertinggi sejak November 2024, dengan peningkatan beban kos terutamanya disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kadar pertukaran yang lemah.
“Harga barangan keluaran Malaysia pula meningkat secara sederhana dengan beberapa syarikat menyatakan bahawa kenaikan harga bahan mentah dan turun naik mata wang dapat dilihat menerusi harga jualan,” katanya.
-- BERNAMA