Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS, Mengukuh Dengan Mata Wang Utama Lain
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Ringgit susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini apabila mata wang negara maju itu mengukuh, didorong oleh pengumuman tarif baharu Washington ke atas rakan dagangnya.
Pada 6 petang, nilai ringgit turun kepada 4.2750/2815 berbanding dolar AS daripada 4.2650/2730, semalam.
AS hari ini mengumumkan tarif lebih rendah sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2025 dengan barangan yang dalam perjalanan diberi tempoh penangguhan selama tujuh hari bagi mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata di sebalik perkembangan positif itu, peniaga masih berhati-hati dengan penyusutan ringgit sedikit sebanyak diimbangi oleh berita penurunan kadar tarif berkenaan.
Beliau berkata kadar tarif 19 peratus ke atas Malaysia juga menandakan impaknya adalah lebih minimum berbanding kadar tarif sebelum ini pada 25 peratus.
“Ada peluang untuk Malaysia terus berbincang semula dengan AS dan sepanjang proses itu, negara berpotensi meraih perjanjian lebih baik. Ini boleh menjadi faktor positif untuk ringgit dalam jangka sederhana,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menekankan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diunjur menyuntik kesan positif terhadap ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang.
Di bawah rancangan pembangunan lima tahun itu, perbelanjaan pembangunan dinaikkan kepada RM430 bilion yang dijangka merangsang permintaan domestik dan menggalakkan aktiviti pelaburan, sekali gus menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.
RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 31 Julai, bertujuan memacu pertumbuhan mampan berasaskan penciptaan nilai merentasi semua sektor.
Daripada peruntukan RM430 bilion itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lebih separuh iaitu RM227 bilion, akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
Dalam pada itu, pada akhir urus niaga hari ini, ringgit ditutup mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.8407/8452 daripada 2.8443/8498, mengukuh berbanding pound Britain pada 5.6208/6293 daripada 5.6426/6532 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8752/8826 daripada 4.8766/8857.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ini termasuk naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/259.4 daripada 259.1/259.7 dan mengukuh sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.0058/0319 daripada 13.0448/0753.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.36 daripada 7.31/7.33 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2907/2960 daripada 3.2889/2953.
-- BERNAMA