Sidang Kemuncak Global Usahawan Dan Profesional Tamil Buka Peluang Pelaburan Di Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 15 Ogos (Bernama) — Penganjuran Sidang Kemuncak Global Usahawan dan Profesional Tamil ke-15 di Pulau Pinang mampu membuka peluang besar untuk mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik serta menjadi platform mempertemukan para usahawan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini kerana kehadiran ramai tokoh-tokoh perniagaan ternama ke acara tahunan itu dapat memberikan pendedahan kepada pelabur dan usahawan mengenai potensi ekonomi negeri ini, sekali gus menarik minat mereka untuk merealisasikan peluang pelaburan di masa hadapan.

“Persidangan seperti ini sebenarnya bukan sekadar satu bentuk produk pelancongan, malah lebih daripada itu. Ia memberi peluang kepada peserta untuk melihat potensi Malaysia dan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan dalam pelbagai bidang sama ada teknologi, perniagaan, produk atau pertanian.

“Tambahan pula, Malaysia dan India mempunyai hubungan bilateral yang amat erat justeru saya berharap penganjuran persidangan seperti ini dapat memperkenalkan lagi Malaysia khususnya Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan persidangan tersebut di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini malam ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S Sundarajoo dan Presiden Pembangunan Sumber Manusia untuk Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia merangkap pengerusi sidang kemuncak itu, Datuk Saravanan M. Sinapan.

Ini merupakan kali pertama Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada persidangan yang berlangsung selama tiga hari yang akan berakhir Ahad ini, dan kali ketiga diadakan di Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapannya, Chow berkata sidang kemuncak itu mencerminkan wawasan Tamil mengenai perpaduan, keamanan termasuk kemakmuran bersama dengan usahawan Tamil sebagai landasan kemajuan negari dan rakan kongsi utama dalam membentuk ekonomi yang diterajui inovasi.

“Bagi Pulau Pinang, yang mana komuniti Tamil membentuk lebih daripada lapan peratus penduduk, ini lebih daripada sekadar acara. Ini adalah perayaan komuniti yang telah, selepas beberapa generasi, menjadi asas kepada kemajuan kita.

“Usahawan Tamil telah membina perniagaan, pendidikan tertinggi, mengukuhkan asas teknologi serta memperkayakan kehidupan awam dengan kebolehsuaian dan keterlihatan, kualiti yang amat diperlukan oleh dunia sekarang,” katanya.

Penganjuran sidang kemuncak tersebut, bukan sekadar penghormatan tetapi juga pernyataan dalam keterbukaan Pulau Pinang terhadap idea, perkongsian dan peluang perniagaan, katanya lagi.

“Kami mahu usahawan Tamil di mana sahaja untuk melihat Pulau Pinang bukan sahaja sebagai destinasi peluang tetapi sebagai rumah, gerbang masuk ASEAN, hab inovas serta medan di mana cita-cita berakar dan berkembang,” katanya.

Sementara itu Saravanan berkata sidang kemuncak tersebut antara lain bermatlamat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk ke ASEAN dan Asia Pasifik bagi industri dan juga perniagaan.

Sebelum sidang kemucak itu bermula pihaknya telah mengadakan beberapa program secara dalam talian, yang menyaksikan ramai usahawan serta ahli perniagaan menunjukkan minat bagi menyokong serta melabur di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.

“Saya percaya program ini mampu memberi manfaat kepada peserta tempatan memandangkan 186 delegasi adalah dari Malaysia. Bukan mudah untuk mempertemukan 650 delegasi dari 30 negara di satu tempat, justeru inilah ‘tiket masuk’ untuk membina jaringan antarabangsa yang mampu menjana pendapatan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.

—BERNAMA