Pasaran Getah Meningkat Semula Untuk Ditutup Tinggi
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meningkat semula untuk ditutup tinggi pada Selasa sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran meningkat didorong oleh berita yang menggalakkan berkaitan industri automotif dan dasar ekonomi China di sebalik kebimbangan yang berterusan mengenai bekalan getah asli.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah berikutan pelabur berhati-hati disebabkan rundingan damai Rusia-Ukraine dan petunjuk daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Selasa, disokong oleh jangkaan permintaan automotif yang lebih tinggi di India dan kebimbangan mengenai keadaan cuaca di negara pengeluar utama, Thailand.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 naik 10 sen kepada 739 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 3.5 sen kepada 572 sen sekilogram.
-- BERNAMA