BERITA TERKINI   Liga Super: DPMM 0-5 Terengganu | Pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri jangan abaikan kepentingan peniaga kecil terutamanya penjaja Melayu - PM Anwar | Khazanah akan terus komited menyokong ekosistem keusahawanan dan modal teroka negara | Khazanah Nasional Berhad sambut baik dapatan serta cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung pelaburannya sebelum ini dalam FashionValet | Perjanjian penyelesaian itu menyelesaikan semua tuntutan sedia ada dan yang berpotensi serta mengikat kedua-dua pihak daripada sebarang tuntutan atau litigasi masa hadapan berkaitan 1MDB - MoF | 

Inflasi Malaysia Naik Kepada 1.2 Peratus Pada Julai 2025

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.2 peratus dengan mata indeks mencatatkan 134.7 pada Julai 2025 daripada 133.1 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata ia dipacu oleh kadar inflasi kumpulan Insurans dan perkhidmatan kewangan yang meningkat kepada 5.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan inflasi Malaysia turut didorong oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.1 peratus (Jun 2025: 2.8 peratus) dan pengangkutan, 0.4 peratus (Jun 2025: 0.3 peratus), meningkat lebih tinggi pada Julai 2025 berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

DOSM berkata peningkatan ketara itu disebabkan kenaikan caj premium insurans faedah hospital, 14.7 peratus (Jun 2025: 0.4 peratus) dan premium termasuk caj perkhidmatan insurans untuk motosikal/skuter, 1.8 peratus (Jun 2025: 1.3 peratus).

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) naik lebih perlahan 1.9 peratus pada Julai 2025 berbanding 2.1 peratus pada bulan sebelumnya, katanya.

“Ini disumbangkan oleh inflasi subkumpulan makanan di luar rumah, 4.3 peratus (Jun 2025: 4.7 peratus) dan makanan di rumah yang menurun kepada negatif 0.3 peratus (Jun 2025: -0.4 peratus),” kata DOSM.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata 58.3 peratus item tersenarai dalam IHP (334 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.

“Bagaimanapun,daripada jumlah tersebut, 322 item (96.4 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Julai, 2025.

“Baki sebanyak 189 item (33.0 peratus) menunjukkan penurunan dan 50 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata kedua-dua inflasi bahan api petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel masih kekal pada jajaran negatif, masing-masing pada negatif 7.8 peratus (Jun 2025: -10.4 peratus) dan negatif 7.1 peratus (June 2025: -3.4 peratus).

“Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Julai 2025 ialah RM3.20 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Julai 2024 (Jun 2025: RM3.11)

“Sementara itu, purata harga Diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.89 seliter berbanding RM3.35 seliter pada Julai 2024 (Jun 2025: RM2.78). Manakala, purata harga Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, 12 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.2 peratus dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.0 peratus) pada Julai, 2025.

“Namun begitu, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (1.8 peratus), Selangor (1.5 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Melaka (1.3 peratus). Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan (-0.1 peratus),” katanya.

-- BERNAMA