BERITA TERKINI   Sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia untuk tempoh lima tahun bagi tarik produksi antarabangsa, tingkat peluang pekerjaan penggiat tempatan - Fahmi | FINAS diminta teliti aspek perundangan dan hak cipta bagi lindungi hak seniman, penggiat filem dalam era AI - Fahmi | Kerajaan akan tawarkan proses mediasi percuma bagi kes pertikaian perundangan babit semua jenis kontrak di bawah RM250,000 - Azalina | MPBN beri penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana - TPM Ahmad Zahid | Kabinet lulus penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, perkukuh tadbir urus bencana - TPM Ahmad Zahid | 

Pasaran Getah Dijangka Mendatar Dengan Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Dagangan di pasaran getah Malaysia dijangka mendatar dengan kecenderungan meningkat minggu depan, susulan keadaan cuaca melampau dan banjir di beberapa negara.

Pakar industri Denis Low berkata hujan lebat dan angin kencang telah melanda pelbagai kawasan, merosakkan tanaman serta mengganggu produktiviti.

“Beberapa kawasan pengeluar getah terjejas dan ini akan menyebabkan penurunan pengeluaran getah secara sementara.

“Sementara itu, wujud ketidaktentuan berkaitan tarif, yang boleh berubah daripada 25 kepada 50 peratus pada bila-bila masa. Ketidaktentuan sebegini memberi kesan kepada ekonomi dan perdagangan di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.

Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) turut senada dengan pandangan itu apabila menjelaskan pasaran getah mungkin terus menunjukkan trend meningkat minggu depan.

Pergerakan itu dijangka dipacu oleh gangguan bekalan berterusan akibat keadaan cuaca ekoran Taufan Kajiki yang melanda kawasan utama pengeluaran getah di Asia Tenggara, tambahnya.

MARGMA memaklumkan selain itu, peningkatan jualan kereta baharu di Eropah sebanyak 5.9 peratus pada Julai menunjukkan permintaan yang kukuh dalam pasaran pengguna utama.

Bagaimanapun, potensi ketegangan perdagangan boleh menjejaskan sentimen pasaran.

“Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengancam untuk memperkenalkan tarif baharu serta mengenakan sekatan eksport teknologi terhadap negara-negara yang menyasarkan firma teknologi AS, selain melaksanakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan dari India,” menurut MARGMA.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Lembaga Getah Malaysia menjelaskan harga rujukan bagi getah fizikal untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 1.0 sen kepada 743.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal kurang 1.5 sen kepada 569.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA