BERITA TERKINI   Sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia untuk tempoh lima tahun bagi tarik produksi antarabangsa, tingkat peluang pekerjaan penggiat tempatan - Fahmi | FINAS diminta teliti aspek perundangan dan hak cipta bagi lindungi hak seniman, penggiat filem dalam era AI - Fahmi | Kerajaan akan tawarkan proses mediasi percuma bagi kes pertikaian perundangan babit semua jenis kontrak di bawah RM250,000 - Azalina | MPBN beri penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana - TPM Ahmad Zahid | Kabinet lulus penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, perkukuh tadbir urus bencana - TPM Ahmad Zahid | 

Pelaburan Perkilangan Tidak Lembap Walau Ekonomi Global Tidak Menentu – MITI

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Prestasi pelaburan sektor perkilangan tidak menunjukkan kelembapan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta kesan dasar tarif, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, ini dibuktikan melalui pencapaian pelaburan yang diluluskan bagi tempoh 2024, prestasi separuh pertama 2025 serta cadangan projek-projek pelaburan yang kini sedang dalam penilaian MIDA.

"Pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara dalam pelbagai sektor ekonomi dicatatkan pada 2024 dengan nilai RM378.5 bilion. Ia merangkumi sektor perkhidmatan (RM252.7 bilion), perkilangan (RM120.5 bilion) dan utama (RM5.3 bilion).

"Pencapaian ini merupakan peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding 2023 iaitu sebanyak RM329.5 bilion," kata MITI dalam jawapan bagi pertanyaan lisan Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang bertanya sama ada MIDA melihat sebarang petunjuk kelembapan dalam permohonan pelaburan projek perkilangan akibat ketidaktentuan global dan kesan dasar tarif.

Merujuk kepada pelaburan bagi sektor perkilangan yang diluluskan sebanyak RM68.4 bilion, MITI berkata ia melibatkan 518 projek dan dijangka menjana sejumlah 46,690 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan asing mendominasi dengan jumlah RM53.3 bilion iaitu 78.0 peratus manakala pelaburan tempatan sebanyak RM15.1 bilion atau 22.0 peratus.

"Selain itu, setakat 13 Ogos, 2025, MIDA sedang menilai sebanyak 95 cadangan projek pelaburan dalam sektor perkilangan berjumlah RM6.8 bilion.

"Prestasi pelaksanaan projek-projek ini akan diumumkan setiap suku tahunan," jelas kementerian itu.

-- BERNAMA