Mekanisme Insentif Tersuai Baharu Pacu Pelaburan Sektor Automotif Malaysia – MITI

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)  sedang memuktamadkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) yang menyasarkan untuk menyediakan struktur cukai dan insentif yang lebih telus dan menarik bagi memperkukuh industri automotif Malaysia.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif berkenaan akan menyokong pelaburan automotif melalui rangka kerja cukai yang lebih jelas, insentif yang adil serta pembangunan ekosistem yang lebih teguh.

“Langkah-langkah ini, berserta usaha memperkukuh infrastruktur pengecasan elektronik Malaysia, bertujuan memastikan dasar yang sejajar dengan trend mobiliti global dan membina ekosistem yang diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV),” katanya dalam ucaptama pelancaran rasmi SUV iCAUR 03 Chery di sini malam ini.

Tengku Zafrul berkata industri automotif negara mencatat rekod tertinggi sepanjang masa dengan jualan sebanyak 816,747 unit pada 2024, melepasi paras 800,000 unit buat kali pertama.

“Walaupun angka pada 2025 dijangka kembali seperti biasa dari segi jumlah jualan keseluruhan industri, Persatuan Automotif Malaysia mengunjurkan jualan kekal stabil sebanyak 780,000 kenderaan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa fokus kerajaan bukan sahaja kepada jumlah jualan malah kualiti, memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada kenderaan yang mempunyai rangkaian kuasa termaju, ciri-ciri keselamatan moden dan pakej teknologi yang berkesan serta boleh dipercayai.

Mengenai matlamat peralihan hijau Malaysia, beliau berkata MITI bersama-sama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedang menjalankan kajian separuh penggal terhadap Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) bagi menggambarkan perubahan pesat dalam landskap automotif global dan faktor utama lain dalam industri.

“Secara umumnya, kajian semula NAP ini akan merangkumi aspek seperti mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan pengembangan eksport komponen bagi memastikan Malaysia terus ke hadapan seiring dengan trend mega mobiliti global,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk memperkukuh rantaian bekalan automotif, mempromosikan infrastruktur EV rentas sempadan dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan bersama dalam teknologi generasi akan datang.

“Kami meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi dan pengeluaran, dengan kenderaan yang dihasilkan di sini boleh memenuhi keperluan seluruh rantau ASEAN dan Asia, dan bakat Malaysia menyumbang kepada kejayaan dalam mobiliti hijau,” katanya.

Menurutnya pelabur seperti Chery memainkan peranan penting dalam mempercepat kemajuan teknologi industri automotif negara, dan kerajaan bertekad untuk menyampaikan hasil yang nyata menerusi dasar yang stabil dan konsisten.

“Kami memahami bahawa pelabur seperti Chery memerlukan keyakinan dan kepercayaan, bukan sahaja terhadap hala tuju dasar kerajaan malah terhadap pelaksanaan kami,” katanya.

NCM adalah rangka kerja akan datang yang diperkenalkan Malaysia untuk sektor automotif, yang dihasilkan supaya lebih telus dan adil, menggantikan sistem Insentif Tersuai (CI) yang sebelum ini dikatakan kurang jelas.

-- BERNAMA