Malaysia, China Perkukuh Perkongsian Kargo Untuk Pacu KLIA Sebagai Hab Serantau Terkemuka

SEPANG, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia dan China sedang memperkukuh perdagangan serantau menerusi perkongsian kargo strategik yang meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab serantau terkemuka untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kedua-dua negara telah mengeratkan kerjasama melalui model "hab berkembar" yang menghubungkan KLIA dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng (Lapangan Terbang Zhengzhou).

Beliau berkata perkongsian itu adalah hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada Jun 2024 antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan China Henan Aviation Group Co. (CHAGC) bertujuan untuk meluaskan laluan kargo, meningkatkan rangkaian logistik dan meningkatkan hubungan ekonomi di bawah rangka kerja Laluan Sutera Udara.

“Malaysia kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar China dalam ASEAN dan sumber import utamanya.

“Terletak strategik di tengah-tengah wilayah pertumbuhan tinggi, jumlah trafik tinggi, Malaysia mempunyai rangkaian laluan udara yang kukuh meliputi pasaran global utama dan kawasan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), menawarkan keadaan sesuai untuk membangunkan perkhidmatan kargo udara,” katanya.

Loke berkata demikian pada Forum Kerjasama Antarabangsa Jalan Sutera Udara Zhengzhou-Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau juga berkata Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan sektor kargo udara dengan meletakkan KLIA serta lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Senai, sebagai hab kargo serantau.

Laluan KUL-Zhengzhou telah mencatat pertumbuhan kukuh dalam jumlah kargo, meningkat daripada 437 tan pada 2023 kepada 1,812 tan pada 2024 dan terus meningkat kepada 11,635 tan pada September 2025, kata Loke.

“Bukan sahaja volum kargo meningkat, malah penerbangan mingguan antara kedua-dua lapangan terbang juga telah melonjak daripada tiga kali seminggu kepada 10 kali seminggu pada 2025.

“Kargo dari Zhengzhou ke KUL (Kuala Lumpur) termasuk penghantaran e-dagang rentas sempadan manakala eksport dari KUL ke Zhengzhou terutamanya terdiri daripada buah-buahan segar termasuk durian dan pelbagai buah-buahan tropika lain yang semakin popular di pasaran China,” katanya.

Loke menekankan bahawa ini secara strategik meletakkan KLIA sebagai hab kargo udara serantau yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat e-dagang China sebagai pusat pemindahan penghantaran.

“Kemudahan kargo KLIA menawarkan infrastruktur logistik paling canggih, kesalinghubungan udara-laut-darat yang lancar dan Zon Komersial Bebas (FCZ) yang menyokong perdagangan antarabangsa, e-dagang dan pengedaran barangan di seluruh ASEAN dan banyak lagi.

"Kemudahan ini membolehkan pengendalian dilakukan dengan cekap untuk pelbagai jenis kargo, termasuk barangan berat dan sensitif suhu, memelihara daya tahan rantaian bekalan dan menyokong pengembangan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Loke berkata Forum Laluan Sutera Udara Zhengzhou-Kuala Lumpur menandakan satu lagi kejayaan, mengguna pakai model hab berkembar untuk merangsang pertumbuhan kargo dan memberikan manfaat ekonomi bersama.

“Forum ini berlangsung tepat pada masanya kerana kami berada pada kedudukan penting bagi industri penerbangan global, mengemudi anjakan didorong oleh teknologi, kebimbangan alam sekitar dan kemampanan, dipercepatkan oleh cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, semasa sidang media, Loke mengulangi matlamat Malaysia untuk menjadikan KLIA sebagai hab kargo utama ASEAN.

"Visi kami adalah untuk KLIA berfungsi sebagai hab yang disatukan untuk barangan di dalam dan di luar ASEAN," katanya.

Gabenor Wilayah Henan, Wang Kai berkata di bawah bimbingan konsensus antara pemimpin kedua-dua negara, kerjasama terus mencapai hasil baharu termasuk pelancaran laluan pengangkutan Zhengzhou-Kuala Lumpur.

“Forum ini memberi peluang untuk mewujudkan mekanisme komunikasi, meluaskan kerjasama ke bidang yang lebih luas dan peringkat yang lebih tinggi dan memberi sumbangan lebih besar untuk membina komuniti masa depan dikongsi bersama antara China dan Malaysia,” katanya.

Forum itu juga menyaksikan beberapa perjanjian dimeterai antara pemain industri China dan Malaysia dalam bidang seperti kapasiti pengangkutan udara, eksport pertanian, logistik rantaian sejuk beku dan kemudahan perdagangan.

-- BERNAMA