BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Timor-Leste untuk lawatan rasmi bersejarah selama dua hari | AFAC menyuarakan mesej jelas kepada komuniti global, sekali gus mengukuhkan reputasi ASEAN sebagai rakan ekonomi yang dinamik, dipercayai dan boleh diharap - Tengku Zafrul | ASEAN menyatakan komitmen kukuh terhadap rangka kerja serantau yang memastikan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawapan dalam pasaran dengan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Persaingan ASEAN (AFAC) - Tengku Zafrul | Tiga individu didenda RM250,000, penjara tujuh tahun selepas mengaku salah simpan bangkai seekor harimau belang betina tanpa permit khas | Inflasi Malaysia meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025 daripada 1.2 peratus bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh insurans dan perkhidmatan kewangan -- Jabatan Perangkaan | 

ASEAN Perlu Manfaatkan Pertumbuhan Kelas Pertengahan Pacu Pembangunan Ekonomi - Liew

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- ASEAN perlu menjadikan blok serantau ini bukan sekadar hab pengeluaran malah juga sebagai pasaran pengguna yang dinamik, dipacu oleh pertumbuhan kelas pertengahan yang kukuh di seluruh ekonominya, satu matlamat penting bagi pembangunan ekonomi di rantau ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata apabila ASEAN bekerjasama dengan kuasa ekonomi Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan, penting untuk mengingatkan kalangan ekonomi besar itu bahawa mereka turut mempunyai kepentingan untuk menyaksikan kelas pertengahan ASEAN yang kukuh.

“ASEAN perlu memilki multinasional yang teguh dengan teknologi sendiri, dan tidak hanya bergantung kepada teknologi yang diimport. Dalam kerjasama ASEAN dengan ekonomi besar Asia Timur, penting untuk China, Jepun dan Korea Selatan sedar bahawa pemindahan dan perkongsian teknologi yang lebih banyak dengan ASEAN akan membawa manfaat bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas di Forum Perniagaan Asia Timur di sini hari ini.

Beliau berkata selepas bertahun-tahun mempromosikan Asia Timur, ASEAN kini mempunyai pelbagai institusi, platform dan mekanisme ASEAN+3, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Beberapa ekonomi Asia kini sangat kaya, dan Asia juga merupakan kuasa besar teknologi dunia hari ini. Perkara yang kita perlukan ialah melakukan lebih banyak usaha secara bersama-sama namun, kita perlu melakukan perkara yang sangat berbeza,” katanya.

Liew, berucap sebagai anggota Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN, berkata kumpulan itu percaya ASEAN, sebagai peserta yang aktif, perlu bertindak bersama-sama dalam membentuk masa depan Asia dan mungkin juga dunia.

Majlis Perniagaan Asia Timur ditubuhkan pada 2004 dan disokong oleh ASEAN+3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Majlis itu diiktiraf atas usaha yang berterusan dalam membawa suara sektor swasta ke dalam dasar serantau.

-- BERNAMA