BERITA TERKINI   Liga Super: DPMM FC 0-4 KL City | Setiap keluarga terjejas teruk akibat ribut di Pantai Dalam akan terima bantuan awal RM5,000 dan keperluan asas - Fahmi | DBKL dan JBPM akan nilai semula keselamatan struktur blok PPR Seri Cempaka susulan kebocoran serta serpihan kaca akibat ribut - Fahmi | Empat unit rumah PPR Seri Cempaka, Pantai Dalam alami kerosakan serius, 30 kenderaan terkesan akibat ribut - Fahmi  | Meta, platform media sosial wajib ambil tanggungjawab pastikan kandungan langgar undang-undang segera diturunkan - Fahmi | 

Anak Syarikat CBHB Raih Kontrak RM31.4 Juta Bagi Kerja Pusat Data Johor

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh CBH Engineering Holding Bhd (CBHB), CBH Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM31.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal untuk stesen pendaratan pengguna (CLS) 132 kilovolt (kV) di sebuah pusat data yang dicadangkan di Johor.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal itu berkata, pihaknya menerima surat lantikan hari ini bertarikh 25 Ogos, 2025 daripada kontraktor utama yang hanya dikenali sebagai Syarikat A dengan nama itu dirahsiakan di bawah perjanjian tanpa pendedahan (NDA).

“Skop kerja yang akan dilaksanakan oleh CBH Engineering di bawah kontrak ini iaitu membekal, memasang, menguji dan mengendalikan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi stesen CLS 132 kV untuk pusat data yang dicadangkan di Johor,” menurut makluman CBHB kepada Bursa Malaysia hari ini.

Tempoh kontrak akan bermula dari 7 Sept, 2025 sehingga tarikh anggaran “kesediaan untuk pengaliran tenaga elektrik” pada 10 Mac, 2026.

Syarikat itu berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersihnya sepanjang tempoh projek berlangsung.

CBHB berkata tiada kepentingan secara langsung atau tidak langsung daripada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan mereka berhubung dengan kontrak itu.

“Lembaga pengarah berpendapat penerimaan kontrak ini merupakan urusan perniagaan biasa syarikat dan ia demi kepentingan terbaik syarikat,” tambahnya.

--BERNAMA