BERITA TERKINI   Pelaksanaan subsidi petrol BUDI95 hasil daripada usaha tatakelola pentadbiran baik, pembersihan amalan ketirisan - PM Anwar | Liga Super: DPMM 1-2 Kelantan TRW | 

PETRA Lancar Projek Rintis Solar Kediaman

SHAH ALAM, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini melancarkan projek rintis Projek Solar Kediaman dalam usaha meningkatkan campuran tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek yang dijalankan di bawah Program Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara Sime Darby dan Tenaga Nasional Bhd (TNB). 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek itu yang dimulakan di Bandar Elmina di bawah kelolalaan Sime Darby merupakan antara penyertaan terawal di bawah CREAM sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan inisiatif akses pihak ketiga bagi pembekalan elekrik hijau kepada pengguna.

“Kerjasama diterajui Sime Darby Property dan GSPARX, iaitu anak syarikat TNB ini amat dialu-alukan dan ia membuktikan langkah proaktif sektor korporat dalam menyahut seruan kerajaan bagi menerajui perubahan ke arah masa depan yang lebih lestari. 

“Pelaksanaan program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha PETRA di bawah kerangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050,” katanya ketika melancarkan Projek Solar Kediaman Sime Darby di sini hari ini. 

Fadillah berkata melalui program itu, pemilik rumah boleh memajak atau menyewa ruang bumbung premis kediaman kepada pihak ketiga untuk digabungkan dengan ruang bumbung lain bagi tujuan pembangunan sistem jana kuasa solar PV untuk penghasilan bekalan elektrik hijau kepada pengguna setempat. 

Beliau berkata Sime Darby akan bertindak sebagai Agregator Tenaga Boleh Baharu Tempatan yang berperanan menggabungkan penjanaan elektrik hijau daripada ruang bumbung kediaman yang dipajak dan  memadankan penjanaan tersebut dengan “offtaker” yang memerlukan bekalan elektrik hijau untuk memenuhi komitmen ESG.

“Saya menantikan kejayaan Sime Darby dalam pelaksanaan program ini agar ia boleh menjadi penanda aras dan pembuktian konsep untuk pelaksanaan inisiatif penjanaan TBB pada peringkat komuniti dan setempat menerusi Program CREAM,” katanya. 

Fadillah turut menyatakan komitmen untuk memastikan pelaksanaan program terbabit disokong oleh dasar yang lebih progresif dan mesra perniagaan dengan antara langkah awal menurunkan caj akses komuniti bagi program CREAM sebanyak 40 peratus, iaitu daripada 15 sen/kWj kepada 9 sen/kWj. 

“Pada masa yang sama, saya juga akan memastikan pihak kawal selia, iaitu Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan pemilik sistem rangkaian pengagihan, TNB akan mengutamakan usaha dalam pengukuhan sistem dan pengagihan rangkaian sedia ada agar lebih pintar dan fleksibel untuk integrasi TBB yang lebih tinggi pada peringkat setempat," katanya. 

-- BERNAMA