BERITA TERKINI   Kementerian Komunikasi akan kemuka cadangan ke Kabinet untuk bantuan tambahan penganjur acara susulan lanjutan TMM2026 - Fahmi | TMM 2026: DBKL turunkan kadar deposit cagaran untuk aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan - Hannah | Kerajaan tumpu penyesuaian dasar, urus tekanan kos, jamin bekalan dan keperluan asas dalam menangani krisis bekalan global - Akmal Nasrullah | Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9490/9530 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9555 pada Isnin | Malaysia kini pada fasa pengurusan tekanan yang berpanjangan, bukan lagi fasa pengurusan kejutan awal - Akmal Nasrullah | 

Jadikan Amalan Kawal Selia Baik Pemacu Integrasi ASEAN -- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mencadangkan agar amalan kawal selia yang baik (GRP) dijadikan sebagai pemacu utama integrasi ASEAN untuk mengukuhkan daya saing serta tarikan pelaburan blok itu.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ASEAN harus menggunakan GRP untuk mengurangkan halangan bukan tarif, menyelaraskan piawaian dan menjadikan rantau ini sebagai pasaran yang benar-benar menarik dan mudah untuk menjalankan perdagangan dan pelaburan.

“Keutamaan strategik kedua ialah untuk menerapkan GRP dalam agenda masa depan ASEAN dengan menyepadukan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus berasaskan bukti merentasi semua tonggak Wawasan Komuniti ASEAN 2045,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian pada Mesyuarat Ke-10 ASEAN- Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) GRP Network, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri para pegawai kanan dan penggubal dasar seluruh anggota ASEAN dan OECD, dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Tengku Zafrul juga mencadangkan agar GRP dijadikan sebagai amalan harian untuk memastikan setiap peraturan yang dibuat, disemak atau dimansuhkan memberi manfaat kepada rakyat dan mengekalkan produktiviti.

Berkongsi kemajuan Malaysia, beliau berkata, program pembaharuan birokrasi Malaysia yang berterusan juga membantu menyumbang meningkatkan prestasi negara.

“Pada masa ini, terdapat lebih 1,000 projek penambahbaikan kawal selia di seluruh negara, secara kolektif menjana RM1.1 bilion penjimatan kos pematuhan setakat September 2025,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang baharu, diwartakan awal tahun ini.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia dengan mengurangkan birokrasi dan kerenah birokrasi,” katanya.

Sementara itu MPC menerusi satu kenyataan berasingan sempena acara itu berkata sepanjang dekad lalu, ASEAN-OECD GRP Network telah berkembang daripada dialog dasar menjadi platform praktikal untuk pembaharuan dan kerjasama, mengubah pengetahuan menjadi satu tindakan.

“Rangkaian itu telah menyokong inisiatif untuk memudahkan pendaftaran perniagaan, meningkatkan tadbir urus digital, mengukuhkan penyelarasan kawal selia, dan menghubungkan syarikat kecil dan sederhana (PKS) kepada rantaian nilai global.

“Tumpuan kepada tadbir urus yang lebih baik ini telah membuahkan hasil yang ketara, dengan produktiviti buruh ASEAN berkembang pada kadar tahunan kompaun kira-kira 2.45 peratus dari 2014 hingga 2023, menggambarkan bagaimana kecekapan kawal selia dan inovasi memacu daya saing serantau,” katanya.

-- BERNAMA