BERITA TERKINI   Umat ​​Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu (21 Mac) - Mufti Singapura | Umat ​​Islam di Indonesia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac - Menteri Hal Ehwal Agama | Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja | PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | 

PM Anwar Zahir Rasa Syukur Ringgit Cecah Paras Tertinggi Lebih Tujuh Tahun

PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa syukur terhadap prestasi ringgit yang terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.

“Alhamdulillah,” kata beliau sewaktu diminta mengulas momentum pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.

Ringgit memulakan urus niaga pagi ini dengan mencecah paras 3.9850/9950 berbanding dolar AS pada jam 8 pagi ini, meneruskan momentum pengukuhannya daripada paras penutup 4.0045/0080 pada Jumaat lepas. 

Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras sama adalah pada 24 Mei 2018 apabila mencecah 3.9797 berbanding dolar AS.

Pengukuhan ringgit itu dipacu oleh peningkatan minat selepas Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman selain faktor kelemahan Indeks Dolar AS.

Pada Sabtu lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengukuhan nilai ringgit adalah paparan keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Prestasi itu juga, kata Perdana Menteri, adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran cekap serta ketegasan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.

Dalam pada itu, majlis hari ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

-- BERNAMA