BERITA TERKINI   PM Anwar mahu prestasi SMK Banggi sebagai pusat pembangunan modal insan dipertingkat, mahu laporan dalam dua minggu | RM1 juta naik taraf jeti Kampung Dogoton, Pulau Banggi bagi kegunaan penduduk dan agensi penguatkuasa - PM Anwar | RM1.25 juta untuk pelbagai program termasuk pendidikan, teknologi hijau dan kesihatan di Pulau Banggi - PM Anwar | Naik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut-Kampung Pengkalan Darat di Pulau Banggi dilaksana dengan kos hampir RM44 juta - PM Anwar | Kerajaan lulus lebih RM31 juta untuk naik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat di Pulau Banggi - PM Anwar | 

AWC Jalin Kerjasama Dengan TwinMatrix Technologies Pertingkat Inovasi Digital

Oleh Zufazlin Baharuddin

PETALING JAYA, 26 Jan (Bernama) -- AWC Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan TwinMatrix Technologies Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura untuk meningkatkan inovasi digital bagi seluruh operasi kemudahan dan infrastrukturnya.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kemudahan AWC, Abd Aziz Awang Adek berkata kerjasama itu akan meneroka inisiatif transformasi digital terpilih untuk memodenkan operasi menggunakan sistem dipacu data dan kecerdasan buatan (AI).

“Kami sedang menerima guna teknologi baharu dan memerlukan rakan kerjasama yang dinamik untuk mempertingkatkan tawaran kami, menambah baik kecekapan operasi serta memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.

“Kami yakin TwinMatrix berkedudukan baik untuk membawa nilai yang bermakna kepada pelanggan kami,” katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU dengan TwinMatrix di pejabat AWC di Subang Jaya, di sini hari ini.

TwinMatrix diwakili oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Eric Liu.

TwinMatrix menumpukan kepada penyelesaian kembar digital berasaskan ruang dan kecerdasan buatan ruang yang mengintegrasikan data geospatial, Internet Benda (IoT) dan data masa nyata bagi menyokong pemantauan serta pembuatan keputusan dalam persekitaran binaan yang kompleks.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden AWC, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran operasi AWC dengan keupayaan kembar digital dan AI ruang TwinMatrix bagi meningkatkan keterlihatan aset, penyelenggaraan dan pengoptimuman tenaga.

Beliau berkata TwinMatrix akan bertindak sebagai rakan kerjasama  teknologi dengan menyediakan input nasihat, keupayaan platform serta sokongan teknikal bagi inisiatif rintis, dengan pelaksanaan dijalankan mengikut fasa.

AWC menjelaskan MoU itu berkuat kuasa hari ini dan sah selama 12 bulan.

Syarikat itu menambah MoU tersebut dijangka tidak menjejaskan pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau kadar hutang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026.

-- BERNAMA