BERITA TERKINI   KPM teliti laporan kesan kebakaran kilang jejas tujuh sekolah di Kulai - Fadhlina | Untung bersih DRB-HICOM melonjak kepada RM397.97 juta bagi tahun kewangan 2025 daripada RM22.55 juta pada tahun kewangan sebelumnya | Untung bersih AirAsia X Bhd berjumlah RM191.75 juta bagi tahun kewangan 2025 berbanding RM229.14 juta pada tahun kewangan 2024 | 

AirAsia X Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM191.75 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- AirAsia X Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah iaitu sebanyak RM191.75 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM229.14 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Namun, ia berkata perolehannya meningkat sedikit kepada RM3.33 bilion bagi tahun kewangan 2025 daripada RM3.25 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2025, syarikat mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM78.57 juta daripada RM22.56 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024.

Ia dipacu oleh prestasi perolehan yang lebih kukuh selain lebih daripada mengimbangi peningkatan kos operasi yang ditanggung sepanjang suku berkenaan.

Perolehan kumpulan turut meningkat kepada RM920.81 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 daripada RM872.35 juta sebelumnya yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan purata tambang penumpang dan kenaikan perolehan tambahan setiap penumpang.

Mengenai prospek, AirAsia X berkata ia akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada syarikat penerbangan kos terendah di dunia selain membina asas bagi pengendali rangkaian kos rendah pertama di dunia pada 2026.

"Di sebalik latar belakang ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, kumpulan akan terus memantau dengan teliti turun naik kadar pertukaran mata wang dan harga minyak.

"Pengukuhan terkini ringgit dan baht bersama dengan platform pembiayaan dan operasi yang lebih kukuh dapat memberikan sokongan tambahan untuk mengekalkan struktur kos yang berdisiplin sementara kumpulan terus mengutamakan operasi yang boleh dipercayai, tambang yang mampu milik dan penciptaan nilai yang mampan untuk pemegang saham," katanya.

-- BERNAMA