BERITA TERKINI   MoU antara Bernama-Tatoli cermin komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama media serantau - Fahmi | Projek pembangunan kerajaan dan swasta mesti manfaatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah - PM Anwar | Kerjasama strategik Malaysia dengan Rusia dan Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk tempoh puluhan tahun - PM Anwar | PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | 

Pasaran Getah Dijangka Dalam Trend Meningkat Berikutan Kekangan Bekalan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pasaran getah dijangka meningkat minggu depan dengan permintaan mungkin melebihi bekalan dalam persekitaran musim daun getah luruh, kata pakar industri Denis Low.

Low berkata produktiviti getah akan terjejas, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah dijangka berterusan sehingga akhir Mac.

Beliau berkata hujan berterusan di beberapa kawasan pengeluaran getah akan menyukarkan aktiviti menoreh, sekali gus menurunkan lagi produktiviti.

"Perubahan iklim sedang berlaku kerana keadaan cuaca bermusim tidak dapat diramalkan," katanya kepada Bernama.

Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) memberi amaran mengenai ribut petir di Bangkok dan wilayah sekitarnya berserta hujan lebat dengan keadaan cuaca yang serupa dijangkakan di Malaysia.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)  meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan sembilan negeri," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran diunjurkan meningkat minggu depan selepas permintaan ketika Tahun Baharu Cina, pasaran mungkin kekal bercampur-campur, menjejaki niaga hadapan getah serantau dan kekuatan ringgit.

Ketidakpastian mengenai tarif AS, ditambah pula dengan ringgit yang lebih kukuh, memberi petunjuk pasaran bercampur-campur yang selanjutnya dipengaruhi oleh niaga hadapan serantau dan harga minyak mentah.

"Harga getah mungkin meningkat sedikit minggu depan disebabkan oleh kekangan bekalan dijangkakan daripada musim daun getah luruh dan turun naik dalam niaga hadapan getah serantau dan pasaran minyak mentah," katanya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 melonjak 29.5 sen kepada 792 sen sekilogram manakala lateks pukal melonjak 28.5 sen kepada 614 sen sekilogram.

-- BERNAMA