RAM Ratings Unjur Pertumbuhan Pinjaman Malaysia Sebanyak 4.0-5.0 Peratus Pada 2026

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengunjurkan pertumbuhan sistem pinjaman Malaysia meningkat pada kadar 4.0 peratus kepada 5.0 peratus pada 2026, sejajar dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus. 

Katanya, anggaran KDNK disokong oleh permintaan domestik, didorong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, peningkatan ketibaan pelancong dan persekitaran kadar faedah yang akomodatif. 

“Bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah dan ketidaktentuan perdagangan global yang berterusan telah meningkatkan risiko penurunan dan boleh menjejaskan aktiviti serta sentimen ekonomi. 

“Namun, masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya impak risiko-risiko ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAM Ratings berkata kualiti aset kekal menjadi pemacu utama daya tahan sistem perbankan. 

“Nisbah pinjaman terjejas kasar terus susut ke paras terendah dalam sejarah iaitu 1.37 peratus pada akhir Disember 2025 dan ia dijangka kekal utuh pada 2026,” katanya. 

Menurut RAM Ratings, margin faedah bersih purata (NIM) menyusut kepada 2.03 peratus pada 2025 daripada 2.06 peratus pada 2024, disebabkan oleh pengurangan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada Julai tahun lepas, selain persaingan sengit pinjaman dan deposit. 

“Tetapi, NIM dijangka menyaksikan kemajuan yang sederhana pada 2026 memandangkan kesan penetapan semula harga deposit sepanjang tahun,” katanya. 

Bagi 2025, RAM Ratings menyatakan bahawa bank Malaysia memperoleh pendapatan yang stabil, dengan beberapa bank meningkatkan pembayaran dividen apabila penampan modal yang kukuh yang terkumpul ketika pandemik dikembalikan kepada pemegang saham. 

Katanya, kualiti aset yang kukuh dan pelonggaran kos kredit menyokong keuntungan, walaupun NIM mengecil sedikit susulan pemotongan kadar dasar dan persaingan pembiayaan yang sengit. 

“Purata pulangan aset sebelum cukai dan pulangan ekuiti lapan bank tempatan terpilih meningkat sedikit demi sedikit masing-masing kepada 1.42 peratus dan 14.3 peratus,” katanya.

Lapan bank tersebut ialah Affin Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, AMMB Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, Public Bank Bhd dan RHB Bank Bhd.

Naib Presiden Kanan Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings Wong Yin Ching berkata lebihan modal yang terkumpul semasa pandemik COVID-19 membolehkan beberapa bank meningkatkan dividen secara progresif sambil mengekalkan kedudukan modal yang baik. 

“Nisbah sistem modal menjadi sederhana tetapi kekal selesa di atas keperluan kawal selia dan lebih hampir dengan norma pra-pandemik,” kata Wong. 

-- BERNAMA