BERITA TERKINI   Cuaca panas berterusan: IPTA dibenarkan buat keputusan laksanakan PdP secara dalam talian - Zambry | Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | 

Petronas Nafi Terlibat Perjanjian Bekalan Bahan Api Di Filipina Seperti Dilapor

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan sebarang penglibatan dalam perjanjian pembekalan bahan api seperti yang dilaporkan membabitkan entiti kerajaan tempatan di Filipina.

“Petronas ingin menjelaskan tidak mengetahui atau terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian, dan tidak memeterai apa-apa perjanjian atau komitmen yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat minyak dan gas negara itu berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini mengenai cadangan perjanjian bekalan bahan api di Filipina.

Petronas menegaskan bahawa tumpuan utamanya adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan tersedia untuk Malaysia.

"Aspek itu kekal sebagai keutamaan, disokong oleh rangkaian bekalan yang kukuh dan kerjasama erat dengan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA