Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu, didorong oleh keyakinan baharu susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai potensi pelan keluar daripada konflik Asia Barat dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, kata peniaga.

Beliau berkata pengumuman itu telah mendorong kenaikan saham Asia dan meningkatkan sentimen pelabur. 

“Sentimen pasaran terus diperkukuh oleh kemuncak musim daun pokok getah gugur di negara-negara pengeluar utama, yang telah mengehadkan bekalan bahan mentah dengan ketara.

“Kenaikan awal sebahagiannya dikekang oleh petunjuk bercampur-campur daripada niaga hadapan getah serantau, ringgit yang tinggi berbanding dolar AS dan penurunan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 0.74 peratus kepada US$103.18 setong (US$1=RM4.02).

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 8.0 sen kepada 817 sen sekilogram manakala susu getah pukal melonjak 11 sen kepada 715.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA