Taiwan Berhasrat Perbaharui Perjanjian Pelaburan Dua Hala 1993 Dengan Malaysia

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Taiwan menyatakan hasrat kepada kerajaan Malaysia untuk memulakan rundingan bagi mengemas kini Perjanjian Pelaburan Dua Hala (BIA) Malaysia-Taiwan yang dimeterai pada 1993 supaya selari dengan landskap pelaburan global semasa.

Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Lien Yu-Ping berkata BIA yang telah berkuat kuasa lebih 30 tahun itu hanya mengandungi 10 peruntukan dan belum disemak semula bagi memenuhi keperluan pelaburan semasa.

“Apabila kita bercakap mengenai pergerakan rantaian bekalan, terdapat keperluan untuk melindungi hak harta intelek dan pemindahan teknologi.

“Namun, tiada perlindungan berkaitan perkara itu dinyatakan dalam BIA. Satu lagi contoh ialah jika syarikat kami mahu menyalurkan modal dari negara ketiga, pelaburan seperti itu juga tidak dilindungi dalam BIA sedia ada,” katanya kepada Bernama pada program Taiwan Smart Solutions Connect 2026 di sini hari ini.

Lien berkata landskap pelaburan global telah berubah dengan ketara apabila pemindahan rantaian bekalan kini berlaku pada skala lebih besar susulan syarikat berkembang ke luar negara bersama rakan ekosistem masing-masing.

Sehubungan itu, beliau berkata rangka kerja perlindungan pelaburan yang lebih kukuh amat diperlukan bagi menarik lebih banyak pelaburan Taiwan ke Malaysia.

Ini kerana, katanya BIA yang dikemas kini bukan sahaja membantu memodenkan kerangka perundangan pelaburan Malaysia, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan teknologi tinggi dari Taiwan.

“Kini banyak negara menawarkan insentif menarik kepada syarikat Taiwan untuk melabur seperti Vietnam dan Indonesia, selain telah mengemas kini perjanjian pelaburan dua hala mereka dengan Taiwan.

“Sebagai contoh, selepas kami mengemas kini BIA dengan Philippines dan Vietnam, kami menyaksikan pelaburan Taiwan di negara-negara tersebut meningkat dua hingga tiga kali ganda,” katanya.

Lien berkata Taiwan telah memulakan perbincangan mengenai pembaharuan BIA menerusi kerangka Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan melibatkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di peringkat ketua pengarah.

Bagaimanapun, penglibatan pada peringkat lebih tinggi diperlukan bagi menangani isu pelaburan secara lebih menyeluruh termasuk berkaitan tenaga kerja dan visa pekerjaan kerana isu-isu ini turut melibatkan kementerian lain.

“Jika tahap penglibatan dapat dipertingkatkan, ia akan banyak membantu,” katanya.

Beliau yakin bahawa Taiwan mampu membawa teknologi maju serta membantu membangunkan ekosistem dan kluster industri yang komprehensif di Malaysia.

Pada tahun lepas, perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan mencecah US$57.4 bilion (US$1=RM3.92), meningkat 32.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Taiwan kini merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia serta sumber ketujuh terbesar pelaburan langsung asing (FDI), yang telah mewujudkan lebih 470,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Taiwan Smart Solutions Connect 2026 yang dianjurkan oleh Taiwan International Trade Administration dan Taiwan External Trade Development Council menghimpunkan 26 syarikat teknologi inovatif Taiwan.

Kesemua syarikat itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pembuatan pintar dan kecerdasan buatan (AI) industri; bandar pintar dan tenaga mampan; transformasi digital dan AI perusahaan; serta penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pintar.

-- BERNAMA