Jerman Sasar Johor Sebagai Gerbang ASEAN, 70 Delegasi Perniagaan Teroka Peluang JS-SEZ
ISKANDAR PUTERI, 13 Mei (Bernama) -- Johor semakin dilihat sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN apabila Jerman berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global dan mengembangkan perkongsian pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di tengah-tengah krisis rantaian bekalan global serta konflik di Asia Barat.
Duta Besar Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr berkata 70 delegasi perniagaan akan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di zon ekonomi tersebut.
Beliau berkata delegasi peringkat tinggi "Team Germany" berada di Johor untuk lawatan dua hari bagi menerokai keadaan pelaburan di JS-SEZ.
"Sebagai sebuah negara perdagangan, kami benar-benar berminat untuk mempelbagaikan rantaian bekalan kami, menjalin perkongsian baharu termasuk peluang pelaburan, dan saya fikir Johor adalah calon yang sangat baik untuk itu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han di Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Duta Besar Jerman ke Singapura, Bettina Fanghanel.
Riecken-Daerr dan Fanghanel turut diiringi wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman, Dewan Perniagaan Singapura-Jerman, Majlis Perniagaan Jerman Johor, Pusat Jerman Singapura, Pelaburan dan Perdagangan Jerman serta wakil-wakil daripada 55 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura dalam lawatan bersama yang bermula hari ini.
Riecken-Daerr berkata pada masa ini terdapat kira-kira 750 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, termasuk sekitar 90 syarikat di Johor.
Delegasi itu memerhatikan minat rentas sempadan yang semakin meningkat di kalangan syarikat Jerman yang berpangkalan di Singapura untuk mengembangkan operasi mereka ke Johor, khususnya dalam JS-SEZ.
Riecken-Daerr turut menekankan hubungan maritim Johor, ketersediaan tanah dan tenaga kerja mahir yang berbilang bahasa sebagai antara faktor yang menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
Sementara itu Lee berkata kebanyakan syarikat daripada Jerman yang beroperasi di Johor terlibat dalam industri logistik dan kimia.
Negeri itu juga telah menerima banyak pelaburan berimpak besar daripada Jerman pada tahun lepas, termasuk syarikat SICK AG dengan pelaburan lebih RM1 bilion dan tawaran 2,000 peluang pekerjaan.
Sehubungan dengan itu, Lee berkata pertemuan bersama Duta Besar daripada kedua-dua negara itu bukan sahaja akan memberi impak besar dari segi pelaburan, tetapi juga kerjasama dalam membangunkan bakat tempatan menerusi kursus dalam sektor minyak dan gas.
Kerjasama itu adalah bertepatan memandangkan Jerman merupakan antara kuasa besar dunia dari segi kekuatan perindustrian serta Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Sementara ini fokus adalah kepada industri minyak dan gas, tetapi tentunya, pembuatan termaju seperti automasi, EV dan automotif yang mana Jerman ni sangat-sangat kuat, kita boleh bincang lagi untuk adakan kerjasama," katanya.
-- BERNAMA