Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, dipengaruhi oleh aktiviti jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor utiliti, telekomunikasi dan media serta produk dan perkhidmatan pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.90 mata atau 0.23 peratus kepada 1,704.60 daripada 1,708.50 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.73 mata kepada 1,706.77 dan bergerak antara 1,701.07 dan 1,707.52 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 613 berbanding 349 manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,204 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.88 bilion unit bernilai RM1.78 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd memaklumkan bahawa FBM KLCI dijangka stabil hampir kepada paras 1,700 selepas mencatatkan penurunan baru-baru ini (-3.56 peratus daripada paras tertinggi setakat ini pada 1,771) susulan optimisme bahawa Amerika Syarikat dan Iran semakin hampir mencapai persetujuan untuk membuka semula Selat Hormuz.
“Bagaimanapun, pendekatan berhati-hati berterusan berikutan musim kemuncak pelaporan keputusan kewangan suku pertama 2026, isu politik domestik yang meningkat dengan spekulasi pilihan raya negeri lebih awal dan aliran keluar dana asing yang berterusan (-RM1.39 bilion selama 10 sesi dagangan berturut-turut).
“Walaupun terdapat turun naik jangka pendek, kami kekal berhati-hati tetapi positif terhadap Malaysia, disokong oleh statusnya sebagai pengeksport bersih minyak, hubungan perdagangan yang berdaya tahan, pendedahan kepada kitaran peningkatan teknologi global dan kedudukan fiskal yang menyokong,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menurun 16 sen kepada RM14.30, CelcomDigi berkurangan tujuh sen kepada RM2.99, 99 Speed Mart Retail menyusut lapan sen kepada RM3.33, Press Metal Aluminium menambah 14 sen kepada RM9.11 dan Public Bank naik dua sen kepada RM4.78.
Bagi saham aktif, Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 82 sen, Inari Amertron naik 22 sen kepada RM2.20, Oppstar menambah 6.5 sen kepada 70 sen, Skychip menurun sembilan sen kepada RM2.83 dan Sime Darby Property mendatar pada RM1.46.
Kaunter paling untung termasuklah MI Technovation, mengukuh 19 sen kepada RM4.72, Malaysian Pacific Industries meningkat RM1.44 kepada RM49.44, Allianz Malaysia naik 70 sen kepada RM21.50, Kelington menambah 31 sen kepada RM7.64 dan Chin Teck Plantations menokok 18 sen kepada RM11.18.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle menurun 52 sen kepada RM95.28, Hong Leong Industries berkurangan 28 sen kepada RM18.50, Ta Ann menyusut 20 sen kepada RM5.18, Petronas Dagangan dan Fraser & Neave, masing-masing merosot 18 sen kepada RM17.64 dan RM28.62.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 20.79 mata kepada 12,659.55, Indeks FBM Top 100 menurun 16.17 mata kepada 12,502.37, Indeks FBM Emas Shariah merosot 26.07 mata kepada 12,581.77 dan Indeks FBM ACE menyusut 6.68 mata kepada 4,715.04 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 29.45 mata kepada 18,296.34.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 3.03 mata kepada 20,014.58, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.90 mata kepada 198.62, Indeks Tenaga berkurangan 2.21 mata kepada 783.71 dan Indeks Perladangan menurun 21.54 mata kepada 8,504.73.
-- BERNAMA