Krisis Bekalan Akan Naikkan Kos Melebihi Harga Minyak - Hassan Marican
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Krisis bekalan dan tenaga global yang berterusan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu harga minyak tetapi sebagai gangguan fizikal lebih luas yang boleh menjejaskan isi rumah secara beransur-ansur menerusi peningkatan kos sara hidup, kata Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu berkata kesannya mungkin akan dirasai secara berperingkat, bermula dengan kos bahan api dan logistik sebelum melibatkan bahan mentah petrokimia, plastik, baja, pembuatan dan pembinaan.
“Akhirnya, ia akan melibatkan isi rumah melalui tekanan kos sara hidup yang lebih luas,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau memberi amaran bahawa fokus eksklusif terhadap harga bahan api berisiko kerana memandang ringan terhadap skala gangguan tersebut, memandangkan kesannya akan merebak secara berperingkat ke pelbagai sektor ekonomi jika situasi ini berterusan.
"Menganggap perkara ini semata-mata sebagai isu harga minyak adalah satu tanggapan salah yang sangat biasa (normal), ia pada dasarnya adalah krisis bekalan fizikal dan dalam situasi sedemikian, sumber kewangan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah jika bekalan terputus,” katanya.
Malaysia mempunyai penampan struktur tetapi kekal terdedah kepada risiko
Menurut Mohd Hassan, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak lebih kukuh berbanding kebanyakan negara kerana ekosistem minyak dan gas yang mantap, kapasiti penapisan domestik, pemain industri yang berpengalaman dan institusi seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh memainkan peranan penstabilan semasa tempoh gangguan.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak kalis daripada gangguan luaran kerana ia masih terdedah kepada kejutan luaran sebagai ekonomi terbuka dan menekankan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang telah membantu menstabilkan keadaan semasa fasa awal krisis bekalan global.
Ini termasuk mekanisme subsidi bahan api yang disasarkan di bawah BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), bantuan tunai yang diperluas melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta intervensi bekalan makanan strategik melalui Jualan Rahmah MADANI dan Agro MADANI.
Sokongan pembiayaan tambahan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dilancarkan baru-baru ini juga akan membantu perniagaan menguruskan kos operasi yang semakin meningkat, katanya.
Respons terselaras seluruh negara diperlukan
Mohd Hassan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten dalam menegaskan komitmen beliau untuk melindungi kebajikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan PMKS.
Walaupun Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan kekuatan institusi untuk mengharungi cabaran ini, beliau menekankan bahawa pengurusan krisis memerlukan disiplin dan penyelarasan nasional merentasi kerajaan, industri dan orang ramai.
“Ini bukanlah cabaran yang boleh diuruskan oleh mana-mana institusi tunggal secara bersendirian kerana ia memerlukan pendekatan daripada seluruh negara,” katanya.
Kerajaan Mengimbangi Bantuan Dan Tekanan Fiskal
Mohd Hassan berkata kerajaan berdepan tugas mencabar untuk mengimbangi antara usaha melindungi rakyat dengan keperluan mengekalkan kemampanan fiskal jangka panjang.
Beliau berkata subsidi dan langkah sokongan bersasar kekal penting dalam jangka pendek untuk menampung isi rumah dan perniagaan daripada kesan inflasi, kos logistik dan kos sara hidup yang lebih luas.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa jika harga tenaga dunia terus melonjak bagi jangka masa panjang, komitmen subsidi yang berlarutan boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara untuk membiayai agenda penting lain seperti sektor kesihatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi.
Beliau berkata, banyak negara termasuk Malaysia, secara beransur-ansur beralih kepada mekanisme subsidi yang lebih bersasar dan bukannya subsidi menyeluruh untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan.
“Ketahanan fiskal juga merupakan sebahagian daripada daya tahan negara. Kita mesti menyokong rakyat semasa tempoh krisis, tetapi pada masa sama kita mesti melakukannya dengan cara yang kekal mampan dan tidak membebankan generasi akan datang secara berlebihan dengan melemahkan kewangan awam atau mengurangkan kapasiti pembangunan.
"Apabila kewangan awam terlalu terbeban dan tidak lagi mampan, sesebuah negara akan menjadi lebih terdedah kepada impak krisis pada masa hadapan," jelasnya.
Prospek dan jaminan kepada rakyat
Mohd Hassan juga ditanya apakah jaminan yang boleh diberikan kepada orang ramai bahawa keadaan keseluruhan kekal terkawal walaupun terdapat peningkatan ketidakpastian geopolitik dan ekonomi di peringkat global.
Beliau berkata situasi global ketika ini adalah serius serta sukar diramal, dan adalah penting untuk bersikap berterus-terang dengan orang ramai mengenai cabaran yang bakal dihadapi, cabaran luaran ini mungkin berlarutan bagi satu tempoh agak lama.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak memasuki tempoh mencabar ini dalam keadaan lemah dengan mengambil contoh keteguhan institusi tempatan, kebolehan tenaga dalam negara, kepimpinan yang berwibawa, serta kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan sektor industri.
“Apa yang penting, kita telah mengharungi krisis yang teruk sebelum ini, dan pengajaran yang dipelajari daripada masa lalu dengan ketara mengukuhkan kapasiti respons kita hari ini,” katanya.
Mohd Hassan berkata keutamaan kerajaan kekal tertumpu pada mengekalkan kestabilan negara, menjamin bekalan penting, melindungi komuniti yang terdedahcdan memastikan bahawa ekonomi kritikal negara berjalan lancar.
Beliau berkata hala tuju dasar akan terus menekankan daya tahan, bantuan yang disasarkan, disiplin fiskal dan pengukuhan keupayaan strategik dalam bidang termasuk tenaga, keselamatan makanan, logistik dan rantaian bekalan perindustrian.
Masa depan memerlukan persediaan dan kerjasama yang berterusan merentasi semua sektor, pada masa sama meluahkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan diri.
“Malaysia pernah menghadapi kejutan global yang besar sebelum ini dan apa yang penting sekarang adalah untuk kekal tenang, mendapat maklumat lengkap dan jelas dan bersedia ketika kita mengharungi persekitaran global yang lebih tidak menentu,” katanya.
-- BERNAMA