BALIK PULAU, 13 Jan (Bernama) -- Seorang penghantar makanan didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dua laras senapang tiruan yang dibeli secara dalam talian, minggu lepas.
Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan tertuduh, Mohd Nasir Othman, 47, menjalani hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda itu serta barang kes dilupuskan.
Mohd Nasir didakwa memiliki selaras senapang tiruan tertera tulisan 'Combact Machine Cal. 7-8mm Water Bullet Gun' dan selaras senapang tertera tulisan 'Property Of US Govt. M4AI Carbine Cal. 5.56MM M010805' tanpa lesen yang sah di sebuah rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini kira-kira 9 pagi, 6 Jan lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh, bagaimanapun peguam Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya berpendapatan bulanan RM1,200 dan perlu menyara dua isteri serta enam anak yang masih bersekolah.
“Saya difahamkan tertuduh membeli senapang tiruan itu daripada aplikasi TikTok dan bukan digunakan untuk mencederakan sesiapa kerana pelurunya bebola gel.
"Tertuduh tidak tahu memiliki senapang tiruan itu merupakan satu kesalahan dan ia cuma digunakan untuk bermain dengan anaknya yang berusia 11 tahun," kata peguam itu.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, Mohd Nasir mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki cecair mitragynine atau air ketum.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu mengaku bersalah memiliki 18 liter cecair mitragynine di hadapan sebuah rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini, pada 9 pagi, 6 Jan lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nasir bersama isterinya, Norhafizah Mohd Zamberi, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 259.5 liter cecair mitragynine di dalam rumah itu pada masa dan tarikh yang sama.
Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi serahan laporan kimia dan memerintahkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin untuk Mohd Nasir bagi kedua-dua pertuduhan manakala Norhafizah dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA