GAYA HIDUP

Limau Lambang Tuah, Rahmat Di Tahun Baharu Cina

16/01/2025 11:06 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 16 Jan (Bernama) -- Setiap kali tiba musim perayaan Tahun Baharu Cina, limau adalah antara yang wajib ada sebagai hidangan atau buah tangan bagi menyerikan sambutan itu.

Masyarakat Tionghua percaya buah limau membawa rahmat atau tuah sepanjang tahun buat mereka, apatah lagi jika diterima sebagai hadiah.

“(Pemberian) Limau juga sebagai tanda membalas budi sepanjang tahun, membantu dalam kehidupan atau perniagaan,” jelas Tan Swee Kong, seorang peniaga limau tambun, kepada Bernama.

pic-2

Menurut pemilik Go Chin Tambun Pamelo Agro Farm ini lagi, saiz buah juga penting, iaitu lebih besar buah limau tersebut maka lebih besar tuah yang akan diperoleh si penerima. 

Tan, 58, berkata antara buah limau yang sering dijadikan hadiah pada Tahun Baharu Cina ialah limau Mandarin, kasturi dan juga limau tambun.

"Limau Mandarin dalam bahasa Kantonis (sebutannya 'kam') membawa maksud ‘emas’. Dalam erti kata lain, sebiji limau Mandarin yang diberi ibarat seketul ‘emas’ disampaikan. Lazimnya kita beri dalam kuantiti yang banyak.

pic-3

"Jadi, kalau kita beri sekotak limau Mandarin, bermakna kita beri sekotak ‘emas’ kepada saudara mara atau kenalan yang membawa makna begitu baik untuk mereka," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Limau kasturi pula katanya diberikan sebagai pokok yang ditanam di dalam pasu.

“Jadi, biasanya (pokok) limau kasturi ini dijadikan hiasan dan diletakkan di halaman rumah. Limau kasturi atau 'kat’ dalam bahasa Kantonis membawa makna ‘aman’ atau memberi ketenangan (kepada penghuni rumah),” jelasnya.

pic-4

Berkenaan limau tambun atau turut dikenali sebagai limau bali, Tan berkata buah itu banyak dijadikan hadiah pada Tahun Baharu Cina kerana saiznya yang lebih besar, secara langsung membawa lebih banyak tuah.

"Dalam bahasa Kantonis dipanggil 'lok yau' atau 'ta yau' (limau besar)), membawa maksud ‘banyak’ dan ‘besar’. Tuhan beri rahmat kepada kita di Malaysia, kerana kita boleh tanam limau ini di Malaysia,” kata anak kelahiran Ipoh itu.

Bercerita tentang perniagaannya, Tan mendedahkan nama “Go Chin” itu diinspirasikan oleh kawan-kawan berbangsa Melayu mendiang ayahnya Chin Too Kam yang meninggal dunia tahun lepas pada usia 80 tahun. 

pic-5

“Dulu, hasil buah-buahan di kebun ayah dijual kepada orang tengah, namun apabila hasil terlalu banyak, kita cari jalan untuk berniaga di pasar malam.

“Bila masuk ke pasar-pasar malam yang majoriti peniaga ialah orang Melayu, ramai yang jadi kawan. Kawan-kawan Melayu ini selalu cakap ‘mari pergi ke Chin punya kebun',  dan dari situlah kebun kami dinamakan ‘Go Chin’,” kongsinya. 

Beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu di atas tanah seluas 1.6 hektar, Tan berkata selain limau bali yang dijual pada harga antara RM10 dan RM30 sebiji mengikut saiz, kebunnya turut mengeluarkan buah-buahan  seperti pisang, jambu batu, belimbing, durian dan ciku.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383190