KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kumpulan kebudayaan Drum Up JB bakal kembali ke Permaisuri Zarith Sofiah Opera House di Johor Bahru, menerusi persembahan selama 70 minit “Drums: A New Beat Beckons”, sebagai sokongan kepada pencalonan rasmi Malaysia bagi seni 24 Festive Drums dalam Senarai Warisan Tidak Ketara UNESCO 2025.
Ahli panel penasihat Drum Up JB Lee Sheah Liang berkata persembahan itu akan berlangsung dari 14 hingga 16 Nov depan dan mereka akan sekali lagi bekerjasama dengan pengarah Yeo Lyle yang pernah mengendalikan persembahan mereka pada 2024.
“Kami akan terus meraikan semangat Malaysia dengan menggandingkan elemen kontemporari dan tradisional daripada pelbagai kumpulan etnik di seluruh negara seperti kompang, jidor, xilofon buluh, gong, gendang, kesi dan kuling tangan, sekali gus menyerlahkan rasa muhibah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
pic-2
Beliau juga berharap kejayaan persembahan pada bulan depan itu akan membantu Drum Up JB menjadi sebahagian daripada persembahan kebudayaan tetap di panggung opera berkenaan.
“Sama seperti orang ramai pergi ke Broadway untuk menonton The Lion King atau ke West End London untuk menyaksikan Les Misérables, kami mahu Johor dikenali dengan Drum Up JB, sesuatu yang dapat dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai milik mereka sendiri,” tambahnya.
Konsert Drums: A New Beat Beckons ialah sebuah inisiatif Malaysia MADANI yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; MyCreative Ventures; Digital Districts; Persatuan 24 Festive Drums Malaysia dan Cloudjoi.
Tiket boleh didapati melalui Cloudjoi.
-- BERNAMA