JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Lelaki Warga Asing Mengaku Salah Miliki 4,002 Kg Gas Petroleum Cecair Tanpa Lesen

17/10/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Empat lelaki warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan memiliki 4,002 kilogram (kg) gas petroleum cecair secara borong tanpa lesen.

Fauzan, 25, Yusrijal, 26, dan Ridwanuddin, 24, yang merupakan warga Indonesia dan warga Myanmar Myo Naing Oo, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Mahkamah tidak membenarkan empat tertuduh itu diikat jamin dan menetapkan 24 Okt ini untuk jatuh hukum serta fakta kes.

Sementara seorang lelaki warga tempatan S. Dashenthiran, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes.

Lima individu terbabit didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas memiliki barang kawalan berjadual iaitu gas petroleum cecair sebanyak 4,002 kg (anggaran) secara borong tanpa lesen yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di sebuah premis di Semenyih pada 5 petang, 15 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Ulul Azmi Khairil Amri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2479994