GUANGZHOU, 22 Okt (Bernama-CMG) -- Fasa pertama Pameran Import dan Eksport China atau "Canton Fair" edisi ke-138 berlangsung di Guangzhou, provinsi Guangdong dari 15 hingga 19 Okt dengan memberi tumpuan kepada sektor pembuatan termaju.
Sebanyak 12,000 syarikat menyertai fasa pertama pameran itu, termasuk lebih 4,000 pempamer dalam bidang kenderaan tenaga baharu (NEV), pembuatan pintar, tenaga baharu, robot perkhidmatan, bahan baharu dan sebagainya.
Pameran itu menarik kehadiran lebih 157,000 pembeli dari 222 negara dan wilayah, peningkatan 6.3 peratus berbanding edisi sebelumnya.
Antara yang mencatat pertumbuhan ketara ialah kehadiran pembeli dari Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Kebanyakan pembeli antarabangsa menegaskan bahawa rantaian industri dan bekalan China kekal sebagai komponen penting yang sukar diganti, kerana memainkan peranan besar dalam mengekalkan kestabilan ekonomi dan perdagangan global.
Fasa kedua Canton Fair akan berlangsung dari 23 hingga 27 Okt dengan menampilkan lebih 10,000 pempamer yang mengendalikan 25,000 gerai pameran, memfokuskan kepada pelbagai produk dan alatan isi rumah.
-- BERNAMA-CMG