AM

Malaysia Bersedia Anjur Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Perhimpunan Terbesar Pemimpin Dunia

22/10/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi pusat diplomatik Asia Tenggara minggu ini apabila menyambut kehadiran kumpulan terbesar pemimpin serantau dan dunia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand dan Kanada akan berhimpun untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sebanyak 2,854 petugas media daripada 290 agensi telah mendaftar untuk membuat liputan acara bersejarah ini, yang turut menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11, melambangkan perpaduan dan peluasan berterusan rantau Asia Tenggara.

Antara pemimpin berprofil tinggi yang dijadualkan tiba pada 26 Okt ialah Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pula dijangka tiba pada 24 Okt selaku rakan dialog sektor baharu ASEAN, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi akan tiba pada 25 Okt.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai satu daripada penganjuran terbesar dalam sejarah ASEAN, sambil menegaskan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, komited untuk memastikan perbincangan membuahkan hasil yang ketara.

Beliau berkata sidang kemuncak itu merupakan satu peluang untuk memperkukuh kerjasama global dan memperkasakan peranan ASEAN sebagai platform untuk dialog serta kerjasama yang bermakna antara pemain ekonomi utama, selain kehadiran Trump memberikan peluang untuk mempererat hubungan Malaysia-AS dan membincangkan isu antarabangsa yang mendesak, termasuk situasi di Gaza dan usaha ke arah keamanan serantau.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebanyak 84 dokumen hasil dijangka dikeluarkan pada sidang kemuncak berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh visi bersama ASEAN menuju ASEAN 2045.

Sidang kemuncak kali ini juga, kata beliau akan menampilkan pendekatan baharu apabila menteri-menteri luar dan menteri-menteri ekonomi akan bermesyuarat secara bersama buat kali pertama bagi menyelaras keputusan serta dasar yang dibincangkan.

Menjelang ketibaan pemimpin, mesyuarat persediaan peringkat pegawai kanan dan menteri akan diadakan bermula esok hingga Sabtu ini termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR), Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) serta Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN.

Turut diadakan pada sesi itu ialah penandatanganan Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Sidang kemuncak utama akan bermula dengan majlis perasmian pada 26 Okt, penyampaian anugerah ASEAN Prize, penandatanganan Deklarasi mengenai Timor-Leste dan majlis penyerahan Protokol Kedua bagi meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

Mesyuarat utama seperti Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan beberapa siri penglibatan ASEAN+1 dengan rakan utama termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga akan diadakan.

Sidang kemuncak berkenaan akan berakhir pada 28 Okt dengan penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kemuncak tahun bersejarah bagi Malaysia dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau dan keterangkuman.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481671