AM

BERNAS Perkenal Rakan Tani Bantu Pesawah, Pacu Adaptasi AI Dalam Pertanian Padi

23/10/2025 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi memperkukuh industri padi negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 dijangka mempercepat penambahbaikan prasarana tanah sawah serta membantu pesawah melalui subsidi dan pelbagai inisiatif lain.

Seiring matlamat kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) percaya pengadaptasian teknologi moden bukan sahaja mampu memperkukuh daya saing industri, malah dapat meningkatkan produktiviti pesawah secara menyeluruh.

Sebagai langkah ke hadapan, pesawah di Malaysia kini bakal dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi chatbot Rakan Tani Pintar AI, sebuah “pakar agronomi digital” yang dibangunkan bagi memantau sawah dengan lebih cekap dan berkesan.

Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Mohd Zakri Zulkafli, berkata platform inovatif itu boleh diakses terus melalui aplikasi WhatsApp tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu, bagi memberikan nasihat harian kepada pesawah berkaitan penggunaan baja, kawalan penyakit dan jadual kerja sawah.

“Malah, pesawah boleh berinteraksi dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau mana-mana dialek melalui teks atau rakaman suara dan akan menerima jawapan yang tepat serta segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata untuk mengaktifkan Rakan Tani Pintar AI, pesawah hanya perlu mengisi maklumat asas sawah mereka seperti keluasan lot, lokasi, varieti padi yang ditanam serta umur tanaman.

Sistem itu akan menyesuaikan nasihat mengikut keadaan sebenar di sawah masing-masing serta mengambil kira keadaan cuaca sebelum aktiviti penting dijalankan.

“Jika ramalan menunjukkan angin kencang atau hujan lebat, sistem akan menasihatkan supaya menangguhkan kerja meracun, langkah ini akan mengelakkan pembaziran input dan melindungi alam sekitar serta kawalan rumpai, penyakit dan perosak dapat dibuat dengan lebih tepat pada masanya,” katanya.

Sebagai permulaan, Mohd Zakri berkata Rakan Tani Pintar AI akan melalui ujian rintis melibatkan beberapa kumpulan pesawah selama 10 minggu sebelum dilancarkan pada awal tahun 2026 dan bakal memberi manfaat kepada pesawah berdaftar di seluruh negara.

Beliau menegaskan teknologi itu tidak direka untuk menggantikan peranan penting pegawai lapangan, sebaliknya bertindak sebagai penasihat berdasarkan data dan kepakaran yang disumbangkan oleh pakar agronomi serta pegawai lapangan BERNAS sendiri.

“Rakan Tani Pintar AI telah melalui Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) yang ketat. Maklumat yang kurang tepat, maklum balas akan dihantar kepada pembangun sistem untuk penambahbaikan segera,” jelasnya.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan setiap nasihat yang diberikan AI adalah tepat, praktikal dan disahkan oleh pakar di lapangan.

Mohd Zakri berkata sistem berkenaan turut menyokong pelaksanaan serta pemantauan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) BERNAS bagi memperkukuh strategi keterjaminan makanan negara, selaras dengan sasaran 80 peratus tahap sara diri (SSL) beras menjelang 2030.

Menerusi pengintegrasian teknologi moden seperti dron, pengimejan satelit dan AI, beliau berkata sektor pertanian kini tampil lebih profesional dan berteknologi tinggi, sekali gus mampu menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.

Menurutnya, pembangunan platform Rakan Tani itu dilaksanakan melalui kerjasama BERNAS dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) serta The Hive Global AI Village (GAIV) dengan hasrat melatih dan membimbing pesawah supaya tiada yang tercicir dalam peralihan digital sektor pertanian.

Beliau berkata BERNAS kekal komited bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi berkaitan dalam memacu transformasi sektor padi negara demi memastikan keterjaminan makanan Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481841