GAYA HIDUP

Misha Omar Terkenang Mentor, Sahabat Yang Pernah Mewarnai Dunia Seninya 

24/10/2025 10:40 AM

PETALING JAYA, 24 Okt (Bernama) -- Menjelang konsert solonya bulan depan, penyanyi tersohor Misha Omar mengakui rindu akan dua insan yang banyak mempengaruhi perjalanan seninya iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Misha, atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 43, berkata kedua-dua individu itu meninggalkan kesan besar pada dirinya, sehingga membolehkan beliau berada di kedudukan sekarang. 

“Saya bersyukur masih dapat berdiri di sini, menyanyi dengan tenaga dan sambutan yang sama. Alangkah bagusnya kalau mereka masih ada dan menyaksikan pencapaian saya ini,” katanya pada sesi bersama media untuk konsert 'DiA Misha Omar', di sini baru-baru ini.

Adnan merupakan mentor dan individu pertama yang mengesan bakat Misha selepas pertandingan akhir Bintang RTM 2001, manakala Siti Sarah pula rakan seperjuangannya yang bersama-sama mencipta nama dalam pertandingan itu.

“Saya berharap Abang Dee (Adnan) boleh lihat saya, bintang yang dia garap daripada ‘hijau’, dibesarkan dan diberi lagu-lagu sehingga menjadi saya yang hari ini... dan Siti Sarah, walaupun dia tiada, semangatnya sentiasa hidup dalam diri saya,” katanya. 

pic-2

Mengulas konsert solo ‘DiA Misha Omar’ di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 Nov depan, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan itu berkata beliau akan menampilkan barisan lagu yang diberi nafas segar dengan susunan muzik dan konsep persembahan yang berbeza.

Katanya konsert berdurasi dua jam itu disusun sebagai satu penceritaan yang membawa penonton mengimbau perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang 23 tahun bergelar anak seni.

“Pemilihan lagu pun bukan kehendak saya saja, saya tak buat keputusan seorang diri, ada empat lima orang dalam pasukan yang bantu pilih. Saya sebenarnya mengharapkan konsert ini dapat membawa mereka yang hadir tenggelam dalam muzik sebaik sahaja tirai persembahan dibuka.

"Untuk hasilkan satu persembahan kita tak boleh sampaikan semua lagu hit… mesti seimbang. Jadi, walaupun lagu ‘underrated’ , saya tetap mahu hargai lagu-lagu itu dan berikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Anak kelahiran Machang, Kelantan itu berkata konsert berkenaan juga menjadi tanda penghargaan dan kasih buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokongnya sepanjang lebih dua dekad dalam industri.

pic-3

“Mereka sanggup mengeluarkan sejumlah wang, malah beritahu saya yang mereka dah tempah Airbnb, hotel, hanya untuk hadir konsert saya.

“Saya ni orangnya agak sentimental. Jadi, siapa-siapa yang menyayangi saya, saya akan menyayangi mereka, kerana bagi saya mempunyai hubungan sebegini dengan peminat adalah satu rahmat," katanya yang menjalani latihan vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat.

Bagi memastikan kualiti persembahan berada di tahap terbaik, Misha berkata beliau kini memberi tumpuan kepada latihan vokal dan stamina, selain menjalani rutin kecergasan sebagai persediaan menghadapi malam konsert.

“Saya bekerja sedikit demi sedikit dan semakin intensif sejak sebulan kebelakangan ini. Bulan November memang penuh dengan kerja dan latihan, tapi saya ambil semua itu sebagai proses yang menyeronokkan,” katanya.

Pelantun lagu Break itu berkata pengalaman terdahulu banyak membantunya mengurus tekanan dan kini lebih fokus pada mempersembahkan karya dengan rasa tenang.

"Walaupun ada cabaran yang perlu dihadapi, kali ini saya tak mahu terlalu tertekan. Saya mahu nikmati setiap momen di atas pentas dan raikan kepercayaan peminat yang sanggup datang menyaksikan saya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482321