AM

Mangsa Banjir Di Kedah, Perak Berkurangan Malam Ini

02/11/2025 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Kedah dan Perak semakin pulih dengan jumlah mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurang malam ini.

Di KEDAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 221 orang daripada 49 keluarga berbanding 259 orang daripada 60 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa yang terjejas di daerah Pendang masih ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

PPS Sekolah Kebangsaan Tunku Intan Shafinaz yang dibuka sejak 27 Okt lepas pula ditutup sepenuhnya pada 4 petang selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan sebanyak 107 orang daripada 28 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung berbanding 124 orang daripada 33 keluarga pagi tadi.

Mereka adalah penduduk Kampung Padang Serai yang dipindahkan ke PPS berkenaan sejak 23 Okt lepas.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kinta di daerah Kinta masih berada pada tahap amaran dengan bacaan 248.02 meter (m), melebihi paras normal 243.5m.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486387