IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Perak kini pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai dalam daerah Manjung ditutup berkuat kuasa pada 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung Shamsul Ridzuan Idris dalam kenyataan berkata keadaan lokasi bencana ketika ini dilaporkan selamat dan semua mangsa banjir telah kembali ke rumah masing-masing.
"Hasil pemantauan bersama-sama polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Baru telah mendapati keadaan lokasi bencana ketika ini telah selamat.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, individu serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang membantu dan menyelaras PPS dengan baik sepanjang operasi," kata Shamsul Ridzuan yang juga Pegawai Daerah Manjung.
Pagi tadi, sebanyak 66 orang daripada 17 keluarga melibatkan penduduk di Kampung Padang Serai berlindung di PPS terbabit yang dibuka sejak 23 Okt lepas.
-- BERNAMA