SUKAN

Sukan SEA: Muhammad Sharul Aimy Bergelut Dengan Masa

03/11/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Gimnas lelaki negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam mengakui bergelut dengan masa bagi melakukan persiapan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, dijadualkan bermula dari 9-20 Dis ini.

Muhammad Sharul Aimy berkata persiapan bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu agak singkat memandangkan beliau mengalami kecederaan lutut sewaktu sesi latihan pada Februari lepas.

“Saya ambil masa dalam tiga bulan untuk saya mula lompat balik, namun belum cergas sepenuhnya lagi. Persiapan agak singkat, bagaimanapun saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata saingan Sukan SEA 2025 merupakan penampilan keduanya dalam kejohanan kompetitif tahun ini selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada Kejohanan Dunia di Jakarta, bulan lepas.

Atlet berusia 24 tahun itu terkandas pada peringkat kelayakan dengan menduduki tangga ke-41 bagi acara melombol dan ke-93 dalam saingan kekuda berpelana.

Selain dua acara berkenaan, pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 di China itu juga akan beraksi dalam acara lantai pada Sukan SEA kali ini.

Beliau pada masa sama berharap dapat pulang dengan kejayaan lebih membanggakan pada Sukan SEA 2025 selepas membantu Malaysia memenangi gangsa acara berpasukan all around lelaki di Phnom Penh.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan tiga wilayah, iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486579