JAKARTA, 3 Nov (Bernama) -- Seramai 15 orang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Panpan di bandar Dal, kabupaten Nduga, wilayah Pergunungan Papua, Indonesia, menurut polis.
Mangsa kebanyakannya pelajar, baru sahaja selesai bermain bola tampar pada Sabtu apabila mereka mengabaikan amaran anggota tentera supaya tidak menyeberangi sungai berikutan hujan lebat.
“Mereka meneruskan perjalanan, namun berlaku tanah runtuh dan banjir kilat menyebabkan 15 orang hilang,” kata Ketua Polis Nduga, Alredo Agustinus Rumbiak kepada Antara.
Usaha mencari oleh penduduk sedang dijalankan di sepanjang tebing sungai manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan lebat masih berterusan di kawasan itu selain menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika menyeberangi sungai pada musim hujan.
-- BERNAMA