KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM500,000 bagi penganjuran Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang julung kali diadakan di sini, bermula esok hingga 8 Nov ini, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Selain itu, beliau berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) turut mengeluarkan perbelanjaan RM1 juta bagi membeli gelanggang mudah alih untuk kegunaan kejohanan.
“Hasrat kita, apabila kita sudah ada juara dunia dalam boling padang di Malaysia, saya nak lebih ramai lagi rakyat Malaysia tahu mengenai boling padang dan program seperti Piala Dunia di sini akan memberikan kesedaran yang lebih tinggi kepada masyarakat di sini mengenai sukan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya berhasrat untuk mengekalkan gelanggang mudah alih itu di Stadium Juara sebagai tempat latihan skuad negara bagi persiapan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow tahun depan.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan PSM untuk menyemak semula kegunaan Stadium Juara bagi memastikan ia tidak bertembung dengan kejohanan atau sesi latihan lain.
“Infrastruktur ini bukan sahaja untuk pertandingan tetapi untuk latihan berpanjangan atlet-atlet negara kita dan mereka perlukan sehingga bulan Jun untuk persiapan ke Sukan Komanwel.
“Jadi, sekarang ini, Perbadanan Stadium perlu susun balik jadual kerana seperti yang anda tahu, Stadium Juara ini juga merupakan tempat latihan untuk bola jaring dan badminton,” katanya
Selain itu, Hannah berkata beliau masih belum menerima sebarang berita mengenai keputusan rayuan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai hukuman kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
“Saya juga menunggu rayuan FAM supaya jawatankuasa yang telah diumumkan, yang diketuai oleh Tun Raus (Sharif) boleh berjalan dengan secepat mungkin selepas rayuan diputuskan.
“Saya percaya semua pihak mahu melihat apa yang telah berlaku dan mereka nak siasatan terperinci dilakukan dan saya yakin dengan pimpinan Tun Raus, bekas Ketua Hakim Negara, saya percaya Tun Raus akan melakukan yang terbaik kerana ini melibatkan reputasi Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA