SUKAN

KBS: War Zone Championship Tidak Dapat Kelulusan

02/11/2025 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kejohanan sukan tempur, War Zone Championship yang dijadual berlangsung Disember ini tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebarang penganjuran acara sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Bagi mana-mana penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak memperoleh kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, Akta 576.

“KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu,  tular video sidang media War Zone Championship yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu bergaduh ketika sesi pengenalan.

Insiden berkenaan mengundang reaksi negatif pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran kejohanan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486386