AM

Ling Cadang Pusat Kanser Sarawak Dibina Di Sibu, Bukan Di Kuching

03/11/2025 08:13 PM

SIBU, 3 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew mencadangkan supaya Pusat Kanser Sarawak bernilai RM1 bilion dibina di Sibu dan bukannya di Kuching, memandangkan bandar raya berkenaan telah memiliki bilangan hospital yang tinggi.

Ling berkata pada masa ini Kuching mempunyai Hospital Umum Sarawak dan Pusat Perubatan Borneo, dengan kedua-duanya menawarkan rawatan kanser termasuk radioterapi, manakala wilayah Tengah dan Utara tidak mempunyai kemudahan seumpama itu.

“Dua lagi hospital sedang dibina di Kuching iaitu Hospital Petra Jaya dan hospital pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang akan menjadikan jumlah hospital di bandar berkenaan kepada lima apabila projek berkenaan siap sepenuhnya nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata memandangkan Pusat Jantung Sarawak telah ditempatkan di Kuching, maka adalah lebih wajar sekiranya Pusat Kanser Sarawak dibina di Sibu.

Sibu, katanya telah lama menantikan sebuah pembinaan pusat rawatan kanser yang lengkap bagi memberikan perkhidmatan kepada pesakit dari kawasan Tengah.

Ling turut menyambut baik inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan hospital pakar menggunakan sumber negeri, di samping menyatakan langkah itu membolehkan penyediakan perkhidmatan kesihatan mampu milik kepada rakyat Sarawak sekali gus menggalakkan pelancongan perubatan dan menjadikan Sarawak sebagai hab penjagaan kesihatan serantau.

Pada 30 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.

Menurut Anwar, melalui projek itu, kerajaan Sarawak mencipta sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama yang menahulukan dana bagi projek Persekutuan bagi mempercepat pelaksanaannya.

Pada 9 Okt lepas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan akan memuktamadkan butiran berkaitan projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang masih dalam peringkat cadangan.

Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya katanya kini melaksanakan makmal penilaian bagi meneliti aspek pelaksanaan projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486745