AM

KPT Siap Siaga Hadapi Musim Banjir - Zambry

03/11/2025 05:54 PM

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah memulakan persiapan awal menghadapi musim banjir hujung tahun ini, khususnya membabitkan universiti di negeri berisiko dilanda bencana tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata peringatan awal serta penyediaan prosedur sudah dilaksanakan setiap tahun termasuk bagi negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak memandangkan angin monsun sememangnya lazim membawa risiko banjir pada penghujung tahun.

“Banjir seperti yang kita tahu sejak tahun lepas sampai tahun ini, kita sentiasa memberi peringatan dan membuat persiapan khususnya di negeri sering terbabit banjir. 

“Di peringkat universiti, biasanya kita memberi ruang kepada mereka untuk membuat persiapan diperlukan,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan penganjuran Festival Of Idea (FoI) Putrajaya di sini hari ini.

Zambry berkata universiti turut diberi ruang fleksibiliti untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian sekiranya banjir menjejaskan operasi pengajaran di kampus.

“Itu antara prosedur kita. Jika berlaku hal seperti itu, (pembelajaran) secara dalam talian boleh dilaksanakan. Kita memberi kebenaran itu kepada universiti, mengikut kebijaksanaan serta keperluan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486688