KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2026-2030, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) JKR Malaysia 2026-2030 dan Sistem IM-Strategic mampu meningkatkan keberkesanan serta kecekapan skop kerja JKR dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dua dokumen garis panduan dan satu sistem itu mencerminkan komitmen JKR untuk melakukan penambahbaikan berterusan dalam aspek tadbir urus, kecekapan organisasi serta integriti warga kerja, sejajar dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya dan kerajaan.
Beliau berkata pelan yang diperbaharui setiap lima tahun itu bukan sekadar dokumen strategik, tetapi juga menjadi panduan utama dalam memperkukuh hala tuju jabatan agar terus relevan dan berdaya saing menghadapi cabaran semasa industri pembinaan negara.
“Pelan ini memperincikan strategi yang jelas bagi memastikan keberkesanan JKR dipertingkatkan, selain menekankan aspek kecekapan, integriti serta hala tuju jabatan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan berkenaan di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Roslan Ismail.
Sementara itu, Roslan dalam ucapannya berkata pelan strategik berkenaan berasaskan lima tema utama iaitu Kecemerlangan Pengurusan Aset Menyeluruh, Merealisasikan Aspirasi Pelanggan, Pusat Kecemerlangan Teknikal, Memacu Kelestarian dan Organisasi Inovatif.
Beliau berkata antara tumpuan utama pelan itu ialah peluasan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dengan sasaran kadar penggunaan meningkat kepada 90 peratus menjelang 2026 bagi semua projek bernilai RM10 juta ke atas, serta memperkasakan penggunaan Pre-Approved Plan (PAP) bagi projek bangunan konvensional dengan sasaran 50 peratus setahun.
Roslan berkata JKR juga akan terus menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam projek jalan dan bangunan bagi mengurangkan pelepasan karbon, di samping mempertingkatkan inovasi dalaman jabatan agar teknologi baharu dapat dikomersialkan.
Dalam konteks transformasi digital, beliau berkata JKR memperkenalkan sistem Integrated Management Strategic (IM-Strategic), iaitu platform pemantauan prestasi dalam talian untuk menilai keberkesanan pelaksanaan pelan strategik jabatan.
“Transformasi digital ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah turut membantu mengurangkan risiko kesilapan serta memastikan ketelusan dalam pelaporan,” katanya.
Roslan berkata OACP JKR Malaysia 2026-2030 dibangunkan sebagai kesinambungan pelan terdahulu dengan menumpukan kepada empat bidang utama iaitu pengurusan aset dan projek, sumber manusia, perolehan serta pentadbiran dan tadbir urus, melibatkan 10 objektif strategik dan 42 inisiatif.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan OACP ini dan keberkesanan Sistem Pengurusan Antirasuah (SPAR) tidak bergantung kepada dokumen semata-mata, tetapi kepada komitmen setiap warga JKR. Sematkan prinsip ‘JKR zero tolerance terhadap rasuah’ sebagai budaya kerja dan tidak berkompromi dalam penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.
-- BERNAMA