EKONOMI

RCEP Dihidupkan Semula Untuk Perkukuh Integrasi Ekonomi Serantau - PM Anwar

04/11/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) - Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menghidupkan semula pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memanfaatkan peluang perdagangan rentas sempadan di rantau ini selain mengukuhkan kedudukannya sebagai negara dagang utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau menerusi peranan aktif dalam ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

“Program kerjasama rantau ini penting. Malaysia adalah negara dagang. Jadi selain ASEAN dan APEC, kita tingkatkan juga RCEP yang kita anggap penting,” kata beliau ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin tahu manfaat yang diraih Malaysia daripada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang dihadiri Anwar di Korea Selatan baru-baru ini.

Perdana Menteri menjelaskan pelaksanaan semula RCEP akan membuka ruang lebih luas kepada perdagangan dan pelaburan antara negara anggota, di samping meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Menurut beliau, penyertaan aktif Malaysia dalam perjanjian mega serantau seperti RCEP dan APEC membolehkan negara memanfaatkan akses pasaran yang lebih besar serta memperkukuh kedudukan eksport.

“Bagi Malaysia, 80 peratus daripada seluruh jumlah perdagangannya adalah dengan negara APEC. Jadi, kita mesti memberikan penekanan...Ini adalah survival negara kita.

“RCEP menyediakan kerangka perdagangan yang stabil dan saling melengkapi antara ekonomi ASEAN dan rakan luar, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tunggal,” kata beliau.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas multiletaral yang dimeterai antara 15 negara iaitu 10 anggota ASEAN dan lima rakan dagangan mereka (Australia, China, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand).

Perjanjian ini mula berkuat kuasa untuk Malaysia pada 18 Mac 2022.

RCEP bertujuan untuk mengurangkan tarif barangan, membuka pasaran perkhidmatan, menggalakkan pelaburan, dan menyelaraskan peraturan perdagangan, yang akan memberi faedah kepada Malaysia sebagai negara dagang. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486965