POLITIK

PRN Sabah: BN Dijangka Muktamad Jumlah Kerusi Minggu Depan - Ahmad Zahid

04/11/2025 03:23 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan jumlah kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, minggu depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata perkara itu akan diumumkan secara rasmi ketika beliau berada di Kota Kinabalu.

“Saya akan mengumumkannya apabila saya terbang ke Kota Kinabalu minggu depan,” katanya ketika ditanya sama ada BN akan bertanding kurang daripada 48 kerusi pada pilihan raya itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Festival Idea (FOI) Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata 80 peratus calon yang akan mewakili BN pada pilihan raya itu adalah muka baharu.

Katanya langkah itu menunjukkan komitmen parti untuk melakukan pembaharuan serta menarik minat pengundi muda di Sabah menyokong BN pada pilihan raya berkenaan.

Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) kini berada pada tahap 95 peratus selesai, dengan hanya beberapa perkara teknikal masih dibincangkan.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan berkata perbincangan pembahagian kerusi BN-PH pada fasa akhir dengan hampir 70 peratus dimuktamadkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 73 kerusi.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486994