AM

Malaysia Sasar Status Negara AI Menjelang 2030, 2026 Jadi Titik Peralihan -- Gobind

04/11/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang memacu langkah untuk muncul sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan yang menekankan pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur dan pelaburan mampan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata tahun 2026 akan menjadi detik penting dalam usaha Kementerian Digital untuk melonjakkan Malaysia sebagai sebuah Negara AI.

Beliau berkata aspirasi itu bukan sekadar  mengenai teknologi, tetapi membina ekosistem menyeluruh yang menggabungkan dasar, bakat, infrastruktur, kepercayaan digital dan pelaburan supaya Malaysia mampu muncul sebagai hab AI serantau yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

“Dengan perancangan rapi dan pendekatan holistik ini, Malaysia dijangka mampu muncul sebagai Negara AI yang inklusif, beretika, selamat dan berdaya saing, sekali gus menjadikan AI sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta transformasi kehidupan rakyat menjelang 2030,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) Peringkat Dasar, di Dewan Rakyat hari ini. 

Gobind berkata bagi menjayakan aspirasi itu, kerajaan melalui Belanjawan 2026 telah memperuntukkan sejumlah RM1.36 bilion kepada Kementerian Digital, termasuk RM248.5 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.11 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Antara inisiatif utama yang akan digerakkan ialah Geran Pemecut Digital Malaysia bernilai RM53 juta untuk mempercepat penerimagunaan teknologi baharu seperti blockchain, AI dan pengkomputeran kuantum dan RM18.1 juta bagi pemerkasaan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), katanya.

Manakala sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi inisiatif GovTech Malaysia untuk mempertingkat penyampaian perkhidmatan kerajaan secara menyeluruh.

Bagi sektor pusat data, beliau berkata, Malaysia berjaya menarik pelaburan berjumlah kira-kira RM115 bilion antara 2021 hingga 2023, dengan industri itu dijangka mewujudkan sekitar 30,900 pekerjaan menjelang 2030 seiring pertumbuhan permintaan perkhidmatan digital serantau.

“Pusat data merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi kesan limpahan ekonomi luas kepada pelbagai sektor.

“Limpahan ekonomi daripada pembangunan pusat data turut memanfaatkan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan seperti firma seni bina, kontraktor elektrik, pembekal sistem pendingin (HVAC), penyedia keselamatan dan pengurusan fasiliti, selain menggalakkan perkembangan syarikat perkhidmatan digital tempatan seperti Software-as-a-Service (SaaS),” katanya.

Gobind berkata Kementerian Digital juga sedang merangka Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data yang akan menjadi kerangka kawal selia menyeluruh untuk memperkukuh tadbir urus keselamatan data bagi kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Strategi ini menyatukan prinsip keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan digital, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 ke arah pembentukan Negara AI yang selamat dan dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487009