AM

Malaysia Senaraikan Tenaga Hidrogen, CCUS Antara Projek Utama PACM

04/11/2025 09:09 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia mengenal pasti tenaga hidrogen hijau dan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), serta penghutanan semula antara projek utama bakal dibenarkan di bawah Paris Agreement Crediting Mechanism (PACM).

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), butiran berkenaan dinyatakan dalam dokumen Host Party Participation (HPP) yang dikemukakan oleh NRES kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada 30 Okt.

Malaysia boleh memberi kebenaran kepada pelaksanaan projek dalam sektor seperti tenaga, proses industri, perhutanan, sisa dan penyingkiran karbon, menurut dokumen itu.

Ini termasuk sistem penyimpanan tenaga, hidrogen hijau, bas elektrik, penghutanan semula, sisa kepada tenaga serta inisiatif CCUS.

“Negara akan menilai setiap aktiviti mitigasi berdasarkan kes demi kes selaras dengan Peraturan Nasional yang sedang dibangunkan dan semua projek mesti sejajar dengan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) Malaysia dan strategi pembangunan rendah karbon jangka panjang,” menurut dokumen itu.

Menurut NRES, aktiviti berkenaan akan menyokong komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 serta menggalakkan pertumbuhan berdaya tahan dan rendah karbon yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Dalam satu hantaran di media sosial, NRES memaklumkan selain memenuhi keperluan utama untuk menyertai PACM, penyerahan HPP juga membolehkan peralihan projek yang sebelum ini didaftarkan di bawah Clean Development Mechanism (CDM) kepada rangka kerja PACM baharu.

Penyerahan itu, satu langkah penting dalam usaha berterusan Malaysia untuk memastikan negara memperoleh manfaat daripada perdagangan karbon, sama ada dari segi kewangan mahupun melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487196